Bekas Ketua Wanita Sabah digesa berundur secara terhormat


BEKAS Ketua Wanita KEADILAN Sabah, Rahimah Majid diberi amaran oleh Biro Lembaga Disiplin parti itu selepas membuat “tuduhan tidak berasas” terhadap presiden parti , Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Amaran itu dibuat sehari selepas Rahimah membuat satu kenyataan angkuh bahawa beliau tidak akan membuat rayuan selepas digantung keahlian dalam parti itu sambil mengatakan tiada kes atau tuduhan untuk dijawab beliau.

Rahimah dilapor turut membuat tuduhan bahawa Anwar Ibrahim menjadi punca kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) kerana “terdesak” mahu menjadi perdana menteri.

“Perenggan 5 surat yang diterima Rahimah secara eksplisit menyatakan beliau akan diberi peluang untuk menjelaskan kepada lembaga disiplin, yang akan memanggilnya dalam masa terdekat.

“Ini bermakna lembaga itu, selepas menyelesaikan siasatan, akan mengeluarkan surat perintah bersama tuduhan terhadap beliau. Tetapi dengan sombong, ego dan secara membabi buta, beliau menyalahkan presiden parti atas kejatuhan HARAPAN.” kata ketua Biro itu, Sazalye Donol.

Sebagai rekod, perkara 41.6 perlembagaan menyatakan majlis pimpinan pusat berhak menggantung keahlian seseorang individu sehingga siasatan lembaga disiplin selesai.

KEADILAN sebelum ini dilapor menggantung 285 anggota sesuai dengan fasal 41.6 perlembagaan parti bagi siasatan dijalankan setelah terdapat aduan mengenai tindak tanduk terhadap individu tertentu. 

Manakala seramai 348 anggota pula dipecat selepas didapati melanggar tata etika dan disiplin parti.

Tindakan itu dilakukan susulan episod pengkhianatan yang membawa kepada jatuhnya kerajaan HARAPAN yang dipilih secara sah melalui mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Sementara itu, ketika mengulas tuduhan Rahimah terhadap Anwar, Sazalye berkata tuduhan Rahimah itu menunjukkan kurangnya pengetahuan bekas Ketua Wanita itu mengenai peristiwa yang membawa kepada kejatuhan HARAPAN.

“Tindakan disiplin terhadap beliau tidak ada kena mengena dengan presiden.

“Saya menasihatkan beliau supaya meninggalkan KEADILAN secara terhormat tanpa memburukkan parti.” tambah Sazalye.

Pada Mac lalu, kerajaan HARAPAN tumbang setelah beberapa bekas pemimpin KEADILAN mengumumkan menyertai Muhyiddin Yasin untuk bekerjasama dengan Umno dan PAS.

Tindakan Muhyiddin mengheret Bersatu keluar dari HARAPAN turut menimbulkan pertikaian dalam parti Bersatu sehingga parti itu sendiri terlepas pegangan di beberapa buah negeri kepada Umno dan PAS. 

Bersatu ditubuhkan menjelang PRU lalu untuk melawan apa yang disebut 'klepotokrasi' dalam Umno.

Post a comment

0 Comments