Bekas menteri salahkan K'jaan harga ayam, sayur naik


KENAIKAN harga ayam dan sayur menjelang Hari Raya Puasa seperti dilapor baru-baru ini disebabkan kegagalan pentadbiran Muhyiddin Yasin mengawal masalah rantaian bekalan makanan, kata Salahuddin Ayub.

Bekas menteri pertanian dan industri asas tani itu menegaskan,  walaupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum ini mengumumkan akan melaksanakan skim kawalan harga maksimum barangan tertentu, harga dua bahan tersebut didapati terus meningkat.

“Seperti yang kita sedia maklum, harga ayam dan sayur tetap meningkat. Sekiranya pihak kerajaan menangani masalah rantaian bekalan makanan, perkara ini mungkin tidak akan berlaku,” kata Salahuddin dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Setiausaha Agung KEADILAN, Lee Chean Chung turut mengulas isu serupa.

Beliau menegur sikap tidak serius kerajaan berhubung amaran jaminan makanan negara sebelum ini yang menurutnya menjadi punca harga ayam dan sayuran meningkat.

“Kegagalan kerajaan dalam menangani masalah rantaian bekalan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) telah mengakibatkan petani mengambil tindakan mengurangkan hasil pertanian.

“Kini, permintaan barangan basah masih sama ataupun akan meningkat menjelang musim perayaan,” tegas Lee sambil merujuk beberapa negeri yang dilapor berdepan kenaikan harga barangan.

Sementara itu, Salahuddin berkata, kerajaan seharusnya melakukan langkah wajar untuk memastikan bekalan makanan mencukupi dan harga barang makanan sentiasa terkawal, terutamanya sepanjang musim perayaan.

Contohnya, melalui kerjasama erat antara KPDNHEP dan kementerian pertanian dan industri makanan, seperti yang berlaku ketika era pentadbiran pakatan Harapan (HARAPAN).

“Tahun lepas, kami telah bertindak secara proaktif melaksanakan skim harga maksimum musim perayaan bermula 15 hari sebelum musim perayaan dan 15 hari lagi selepas itu untuk 27 jenis barang.

“Ini bagi memastikan harga barang tidak naik mendadak seperti yang biasa terjadi menjelang Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai dan Pesta Kaamatan.

“Hasilnya, harga bekalan makanan telah kekal terkawal dan munasabah dalam tempoh tersebut,” katanya.

Sebuah portal baru-baru ini melaporkan berlaku peningkatan harga ayam sehingga 5 kali di Kuantan sepanjang Ramadan ini sehingga menyebabkan harga bahan mentah itu meningkat sehingga RM10 sekilogram.

Peniaga mendakwa, kenaikan di peringkat ladang menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga jualan.

Sementara Berita rtm dalam laporannya pula berkata, di Pasar Larkin, Johor berlaku kenaikan harga ayam sehingga tujuh kali dalam tempoh seminggu.

Kenaikan harga itu mengundang kebimbangan orang ramai.

 

Post a comment

0 Comments