Cara tangani Covid dikalangan PATI lemah - Jomo


PENDEKATAN pentadbiran Muhyiddin menangani wabak koronavirus (Covid-19) dikalangan warga asing setakat ini kurang memuaskan.

Pakar ekonomi, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram yang dipetik Malaysiakini berkata, ia dapat dilihat dari tindakan warga asing melarikan diri daripada pusat kuarantin yang dipercayai ada kaitan dengan serbuan di sesetengah kawasan sebelum ini.

"Hampir 150 (warga asing) melarikan diri (di pusat kuarantin akibat operasi imigresen). Kita juga memberikan isyarat yang salah dengan memberitahu warga asing harus membayar untuk ujian Covid-19.

"Ini mungkin perkara buruk anda lakukan (takutkan mereka untuk menghadiri ujian saringan)," kata panelis itu dalam webinar 'Covid-19 vs Malaysia: The New Normal & The Path to Recovery'.

Dr Jomo menegaskan, pentadbiran Muhyiddin sepatutnya memberikan insentif agar warga asing tampil menjalani ujian Covid-19, tanpa mengambil kira sama ada mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah atau tidak.

"Kita perlu ambil tindakan holistik. Malangnya, ia masih kurang memuaskan walaupun sudah lebih dua bulan negara kita di bawah PKP (Perintah kawalan pergerakan)," kata Dr Jomo ketika menjawab soalan moderator Mistika Idris.

Tindakan Jabatan Imigresen mengadakan operasi besar-besaran di kawasan Masjid India pada 1 Mei lalu seperti dilapor media sebelum ini menerima kritikan badan hak asasi manusia.

Mereka beranggapan tindakan itu telah  menjejaskan usaha kerajaan dalam membendung penularan Covid-19.

Sementara itu, pakar sistem kesihatan Dr Khor Swee Kheng turut berkongsi kebimbangan serupa dengan Dr Jomo.

Katanya, tumpuan tidak seharusnya terarah kepada warga asing semata-mata, sebaliknya turut diberikan kepada pelarian dan pencari suaka.

"Bukan sahaja migran antara 2 juta hingga 4 juta yang sah dan tidak sah, kita juga perlu fikir 100,000 pelarian, lebih kurang 50,000 pencari suaka dan 20,000 orang tidak bernegara di Malaysia.

"Mereka adalah penduduk Malaysia yang tidak mempunyai taraf warga negara. Kita perlu risau tentang mereka atas dasar kesihatan awam," katanya.

Post a comment

0 Comments