Covid-19: Angka jangkitan meningkat lebih 5 juta orang


KES
jangkitan positif koronavirus (Covid-19) yang disahkan di seluruh dunia melepasi 5 juta pada Khamis.

Menurut data Johns Hopkins University setakat 6.30 petang semalam, Amerika Syarikat (AS) kekal mempunyai jangkitan tertinggi dengan lebih 1.5 juta kes.

Rusia pula merekodkan 317,554 kes, Brazil dengan 291,579 kes dan United Kingdom dengan 249, 619 kes.

Wabak itu sehingga kini telah meragut 328,471 korban di seluruh dunia dan AS turut mencatat kematian tertinggi dengan 93,439 kes.

Angka korban kedua tertinggi direkodkan di United Kingdom dengan 35, 786 kes dan Itali di tempat ketiga dengan 32,330 korban.

Beberapa negara yang terjejas teruk di Eropah, termasuk Itali, Perancis dan Sepanyol, telah mencatatkan penurunan jumlah kes harian dalam beberapa minggu kebelakangan ini, tetapi masih mencatatkan ribuan jangkitan baru setiap hari.

41 kes pertama disahkan di Wuhan, China, pada 10 Januari tahun ini. 3 juta jangkitan kemudian disahkan dalam masa kurang dari empat bulan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Sementara itu negara jiran Singapura mengesahkan 448 lagi kes jangkitan Covid-19 menjadikan jumlahnya kepada 29,812 kes pada semalam.

Sebanyak 16,771 kes dengan gejala ringan atau secara klinikal baik tetapi diuji positif Covid-19 telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Satu kematian akibat Covid dilaporkan semalam melibatkan seorang warga emas, menjadikan jumlah kematian direkodkan di negara itu meningkat kepada 23.

Post a comment

0 Comments