Covid-19: DBKL arah sebuah tapak pembinaan tutup


SEBUAH
tapak pembinaan di Jalan Ampang di sini diarah tutup selama 30 hari kerana melanggar syarat kelulusan perintah pembangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan yang dipetik laporan Bernama mengesahkan perkara itu.

Jelasnya, notis arahan itu telah dikeluarkan menerusi Ops Pantau Covid-19 yang dijalankan Jabatan Penguatkuasaan DBKL tengah hari tadi.

"Siasatan mendapati tapak pembinaan itu telah menjalankan aktiviti tanpa kebenaran yang telah melanggar Seksyen 70 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 apabila mereka membina rumah kongsi pekerja di subtingkat bawah tanah tanpa kebenaran.

"Oleh itu, mereka diminta memberhentikan sebarang aktiviti dan mengosongkan tapak pembinaan itu dalam tempoh 30 hari bermula hari ini," katanya Nor Hisham.

DBKL tegasnya akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya jika tapak pembinaan itu gagal mematuhi arah. DBKL juga jelasnya tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kerugian daripada pihak pemaju susulan tindakan penguatkuasaan itu.

Pada 3 Mei lepas, DBKL dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dilapor akan mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor tapak pembinaan yang membina rumah kongsi pekerja tanpa mematuhi garis panduan ditetapkan.

Ia susulan penularan wabak Covid-19 ke atas 28 pekerja asing tapak pembinaan yang dikesan oleh Kementerian Kesihatan sebelum ini.

Post a comment

0 Comments