Covid-19: KKM kesan kluster baru di Melaka


KETUA
Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan satu kluster baru berkaitan koronavirus ( Covid-19) dikenal pasti.

Kluster baru itu jelasnya melibatkan sebuah madrasah di Solok Duku, Masjid Tanah Melaka.

Susulan itu kata Dr Noor Hisham, 107 pelajar, guru dan ahli keluarga telah disaring.

"Dua kes positif di kalangan 35 orang pelajar, tiada kes positif di kalangan 10 orang guru dan kakitangan madrasah. Dua kes positif di kalangan 62 ahli keluarga guru, kakitangan dan pelajar," katanya dalam sidang media semalam.

Sehingga 14 Mei 2020 terdapat sebanyak enam buah kluster COVID-19 yang melibatkan madrasah tahfiz.

Empat kluster adalah merupakan subkluster kepada perhimpunan di Seri Petaling, manakala dua lagi masih dalam siasatan.

Sehingga kini, seramai 19,209 orang pelajar, guru dan kakitangan telah dikenal pasti dari sebanyak 370 buah madrasah dan pusat tahfiz di seluruh Malaysia.

Daripada jumlah keseluruhan ini sebanyak 12,384 sampel telah diuji (iaitu 64.5 peratus) dan keputusannya menunjukkan 635 kes positif COVID-19, 10,755 kes negatif COVID-19 dan 994 kes masih menunggu keputusan.

Berdasarkan keputusan saringan, didapati kadar positif dalam kalangan kumpulan berisiko ini adalah 5.1 peratus.

"Jika dibandingkan dengan situasi pada satu (1) minggu lalu (7 Mei 2020), kadar positif di kalangan kumpulan berisiko ini adalah 4.4 peratus. Tren kenaikan kadar positif ini adalah membimbangkan.

"Ia menunjukkan kebarangkalian untuk menjangkiti orang lain di kalangan kumpulan ini adalah semakin meningkat," ujarnya.

Post a comment

0 Comments