Covid-19: Serbuan terhadap PATI dikritik lagi


OPERASI tangkapan dan penahanan pendatang tanpa izin (PATI) yang giat dijalankan kebelakangan ini dibimbangi akan membawa kesan negatif kepada usaha memerangi koronavirus (Covid-19).

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) memberi amaran tindakan itu mendorong PATI terus bersembunyi dan menghalang mereka daripada mendapatkan rawatan yang sekaligus akan meningkatkan risiko jangkitan kepada orang lain.

“Kebimbangan juga meningkat mengenai penyebaran virus di pusat tahanan imigresen yang sesak dan di petempatan pekerja asing.” kata pertubuhan itu seperti disiar portal FMT.

Terdahulu, kumpulan hak asasi manusia tempatan dan antarabangsa mengkritik cara operasi menahan pekerja asing yang dijalankan di Kuala Lumpur.

Tindakan itu dibimbangi akan menyebabkan PATI melarikan diri sekaligus menjadi punca penularan semula wabak Covid-19.

Dalam perkembangan sama, Kumpulan sivil Tenaganita  mempersoalkan serbuan ke atas migran di beberapa tempat di Selayang yang dijalankan pihak berkuasa semalam.

Mereka menegaskan bahawa tindakan itu hanya akan membawa lebih banyak keburukan.

Pengarah eksekutifnya,  Glorence A Das berkata, pusat tahanan bagi migran itu akan menjadi “lokasi paling sesuai untuk penyebaran virus kepada dan daripada komuniti”.

"Pusat tahanan kita memang diketahui berdepan masalah untuk menyediakan kemudahan penjagaan kesihatan yang mencukupi kepada tahanan. Sistem penjagaan kesihatan mereka tidak dilengkapkan untuk berdepan atau mengawal pandemik koronavirus,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Semalam, Jabatan Imigresen menjalankan serbuan bagi memeriksa komuniti orang asing di kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang.

Media melaporkan, ratusan imigran ditahan dalam serbuan berkenaan.

Post a comment

0 Comments