Dr Noor Hisham rayu rakyat terus amalkan normal baharu


KETUA
Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah merayu rakyat Malaysia kekal mengamalkan kepatuhan sosial selepas tarikh 4 Mei hadapan.

Beliau berkata, jika normal baharu diabaikan, akhirnya usaha keras untuk meratakan lengkungan jangkitan koronavirus (Covis-19) melalui empat fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini akan menjadi sia-sia.

“Yang penting, apabila kita buka semula ekonomi kita, kita ada garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) itu perlu dipatuhi.

"Kita rayu kepada rakyat malaysia untuk amalkan kepatuhan sosial, tanggung bersama dan terus patuh kepada SOP yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Kenyataan itu dibuat susulan keputusan pentadbiran Muhyiddin Yasin yang membenarkan  sektor ekonomi berjalan semula bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei ini.

Fasa keempat PKP pada awalnya dijangka berakhir pada 12 Mei ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham  menegaskan bahawa rakyat Malaysia harus tahu bahawa wabak Covid-19 sentiasa berada dalam komuniti, semua pihak harus belajar bagaimana untuk mengawal penularan wabak itu.

“Dua kriteria penting harus dilaksanakan oleh rakyat Malaysia ialah terus mengamalkan normal baharu dan keduanya adalah pemerkasaan komuniti - tanggungjawab bersama untuk memantau tahap kepatuhan sosial.

"Kalau tak laksanakan, maka tujuan kita untuk kawal (COVID-19) pun mungkin tak tercapai,” tambahnya.

Post a comment

0 Comments