Dua ADUN lompat parti bakal disaman - Johari Abdul


DUA bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari KEADILAN yang mengumumkan keluar parti di Kedah semalam akan berdepan tindakan saman.

Pengerusi KEADILAN negeri Datuk Johari Abdul berkata dua adun berkenaan Robert Ling Kui Ee (Sidam) dan Azman Nasarudin (Lunas) akan disaman RM10 juta setiap seorang kerana “mengkhianati” parti dan pengundi.

Kedua-duanya kata Johari sebelum ini telah berikrar sebelum pilihan raya lalu untuk tidak keluar parti dan sedar tentang implikasi undang-undang sekiranya berbuat demikian.

“Saman akan dikemukakan dan mereka hendaklah bersedia berdepan akibat perbuatan mereka.

“Mereka menjadi Adun selama 2 penggal atas sokongan rakyat yang memilih mereka bukan atas kekuatan mereka, tetapi kerana lambing yang dibawa, iaitu lambang PKR.

“Saya percaya rakyat di Lunas dan Sidam berasa marah atas keputusan mereka keluar parti,” katanya pada sidang media.

Semalam kedua-dua mereka mengumumkan menjadi ADUN bebas dan menyokong pentadbiran Muhyiddin dan Perikatan Nasional (PN), tindakan itu sekaligus memberi tamparan kepada pentadbiran Menteri Besar, Mukhriz Mahathir.

Susulan pertukaran pentadbiran di Putrjaya sebelum ini, Mukhriz cuba mempertahan mandat rakyat dengan meneruskan kerjasama politik dengan HARAPAN dan cuba bertahan dengan sokongan 17 daripada 36 wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri.

Kedua-dua ADUN itu yang melompat parti membuka peluang besar untuk PAS (15 kerusi) dan Umno (2 kerusi) mengambil pentadbiran negeri Kedah yang dinaungi HARAPAN sejak 2 tahun lalu.

Post a comment

0 Comments