Dua ADUN Pulau Pinang perlu kosongkan kerusi


DUA
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik semula sokongan mereka terhadap kerajaan negeri Pakatan Harapan (HARAPAN) Pulau Pinang sebelum ini perlu mengosongkan kerusi mereka.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifli Md Lazim (Telok Bahang) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu berbuat demikian selaras dengan Seksyen 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

"Tindakan dua ADUN Bersatu yang jelas menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) bercanggah dengan pendirian Bersatu Pulau Pinang dan HARAPAN. Jadi ,ereka kini bukan lagi dianggap sebagai sebahagian kerajaan HARAPAN.

"Kerajaan negeri akan membentangkan usul untuk mengosongkan kerusi ahli yang terlibat bagi pertimbangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada sidang akan datang," katanya pada sidang akhbar di Georgetown.

Hadir sama, Pengerusi KEADILAN Pulau Pinang, Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Pengerusi Parti Amanah Negera Pulau Pinang,Dr Roslan Ahmad.

Sementara itu, Kon Yeow juga berkata, Majlis Pimpinan HARAPAN yang bermesyuarat pada Rabu juga memutuskan untuk melucutkan kedua-dua ADUN Bersatu sebagai ahli kerajaan HARAPAN.

Susulan itu semua hak dan kelayakan mereka sebagai ADUN kerajaan negeri dibatalkan serta merta.

Tindakan sama turut dikenakan terhadap ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin yang digantung keahliannya oleh KEADILAN

"Bagi Dr Afif kelayakan sebagai ADUN kerajaan negeri digantung serta merta sehingga keputusan muktamad mengenai statusnya dibuat oleh pimpinan KEADILAN," jelasnya.

Bagi melicinkan pentadbiran kerajaan negeri, Kon Yeow berkata, tiga ADUN angkat dilantik bagi menyelaras program dan urusan kerajaan di ketiga-tiga kawasan berkenaan.

Ketiga-tiga mereka adalah Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik dilantik menjadi ADUN angkat kawasan Teluk Bahang; Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (Bertam) dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar bagi kawasan Seberang Jaya.

Post a comment

0 Comments