Fitnah terhadap Wan Azizah: AMK Perak lapor polis


ANGKATAN
Muda KEADILAN Perak (AMK) membuat satu laporan terhadap kiriman fitnah terhadap bekas timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berhubung sumbangan AS$50 juta dari Qatar kepada pelarian Rohingya di Malaysia.

Setiausaha AMK Perak Zaim Sidqi Zulkifly membuat laporan polis itu di Balai Polis Ipoh, kira-kira pukul 3 petang tadi bagi menggesa pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap hantaran di Facebook itu.

"AMK Perak melihat hantaran tersebut satu dakwaan jahat fitnah dan jenayah di bawah seksyen 499 dan seksyen 500 Kanun Keseksaan.

"AMK Perak berharap tindakan dapat diambil oleh pihak polis dan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) terhadap admin page (pentadbir halaman Facebook) ini," katanya.

Semalam sebuah akaun Facebook dengan nama "Pejabat Timbalan Kanan Setia" memuat naik kenyataan mendakwa bahawa Wan Azizah telah mencuri dana AS$50 juta disumbangkan oleh Qatar Foundation kepada Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Laman Facebook itu juga didapati menhentam Presiden KEADILAN, DatuK Seri Anwar Ibrahim dengan menggunakan perkataan-perkataan tidak senonoh.

Bagaimanapun difahamkan, kenyataan berunsur fitnah itu telah dipadamkan selepas mendapat kritikan daripada warga maya di media sosial.

Dr Wan Azizah pada 29 April lalu telah menjelaskan bahawa sumbangan AS$50 juta dari Qatar kepada pelarian Rohingya di Malaysia tidak pernah disalurkan kepada kerajaan HARAPAN.

Sebaliknya, dana itu disalurkan terus kepada beberapa NGO berkaitan dengan Yayasan Kebajikan Negara cuma bertindak menjadi penyelaras.

Post a comment

0 Comments