HARAPAN sudah ada calon PM jika terajui negara semula

 
CALON
Perdana Menteri Pakatan Harapan (HARAPAN) jika gabungan itu kembali menerajui kerajaan persekutuan telah dikenal pasti.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad memberitahu, perbincangan mengenai siapa yang layak menjadi perdana menteri telah bermula,  persetujuan telah dicapai dan perbincangan kini di peringkat perincian dan beberapa perkara tertentu.

"Ya, sudah dan sedang (bincang tentangnya). Hanya satu jawatan perdana menteri, jadi kami hanya ada satu calon. Dia telah dipersetujui semua pihak," katanya di Shah Alam, hari ini.
 
Walaupun tidak menamakan siapa bakal calon tersebut, namun Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini dilihat sebagai individu paling hampir dengan pencalonan tersebut.

Ia susulan kenyataan Khalid bahawa rundingan kali ini lebih mudah susulan tiada lagi pihak yang mempunyai "tafsiran berbeza" dalam soal peralihan kuasa antara Dr Mahathir Mohamad dan Presiden KEADILAN itu, yang sebelum ini dilihat sebagai punca utama masalah dalaman gabungan itu.

"Sekarang HARAPAN lebih mantap kerana golongan pengkhianat sudah keluar. Mereka yang memberi tafsiran berbeza seperti tidak ada persetujuan Anwar ambil alih dari Mahathir, sudah tiada.

"Sekarang persetujuan lebih tepat dan mempunyai sokongan semua pihak," katanya.

Sebagai rekod sejak beberapa tahun lalu, Anwar merupakan calon bagi menggantikan perdana menteri dibawah kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Khalid menegaskan bahawa HARAPAN akan menggunakan cara yang berasaskan undang-undang untuk kembali menerajui Putrajaya, ia termasuk menerusi undi tidak percaya terhadap Muhyiddin Yasin di Dewan Rakyat.

Tegasnya, usaha itu budak didorong soal nak jawatan, tetapi merupakan usaha untuk mengembalikan kerajaan yang memperolehi mandat rakyat.

"Kalau Perdana Menteri Muhyiddin Yassin seorang yang bermaruah, perkara pertama beliau patut lakukan adalah membuktikan ada majoriti di parlimen," tegasnya.

Menurut kedudukan anggota Parlimen di sidang Dewan Rakyat 18 Mei lalu, terdapat 113 anggota Parlimen yang menyokong kerajaan, menandakan Muhyiddin hanya mempunyai majoriti dua kerusi Parlimen.

BACA:
Muhyiddin hanya ada 111 sokongan Ahli Parlimen?

Jumlah itu bagaimanapun didakwa tidak tepat susulan beberapa kerusi yang dipertikaikan.

Muhyiddin sehingga kini belum mengesahkan sokongan diperolehinya sebagaimana didakwa sebelum ini di dalam Dewan Rakyat.
 

Post a comment

0 Comments