Ibarat curi 10 ayam, bayar balik seekor - Anwar


PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan kemunasabahan perjanjian penyelesaian dalam kes pengubahan wang haram membabitkan anak tiri Najib Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz.

Melalui siaran langsung di Facebook semalam, Ketua Pembangkang Parlimen itu menyuarakan rasa bimbang terhadap perjanjian seperti itu yang menurutnya 'Ibarat curi 10 ekor ayam, bayar balik seekor'.

"Kita nak persoalkan apakah munasabah kita selesaikan kes seperti ini? Dengan rundingan dan membayar sedikit, kalau kita ambil RM1 bilion dan bayar RM100 juta, selesai.

"Jadi esok, ada orang kata dia curi 10 ekor ayam, bayar seekor selesai.

"Kaedahnya sama, jangan pandang ringan. Kalau kita umpamanya esok, curi 10 motor, runding bayar balik satu motor,” katanya.

Riza, 43 sebelum ini berdepan lima pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan AS$248 juta (RM1.25 bilion) yang didakwa diseleweng daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 14 Mei, Mahkamah Sesyen membenarkan melepas tanpa membebaskan (DNAA) terhadap Riza Aziz.

Keputusan itu selepas pihak pendakwaan dan tertuduh mencapai persetujuan atas beberapa representasi difailkan tertuduh terhadap pertuduhan dihadapinya.

Susulan keputusan pelepasan bersyarat itu, Malaysia dijangka akan menerima semula aset di luar negara dianggarkan berjumlah USD107.3 juta (RM465.3 juta).

Semalam, Seorang peguam kanan, Shaharudin Ali memfailkan permohonan bagi menyemak semula keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memberi DNAA kepada Riza

Permohonan itu dibuat di bawah seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah.

Shaharudin memberi alasan mahkamah Sesyen telah khilaf dalam melaksanakan ‘budi bicara’ ke atas ‘leave’ (kebenaran terhadap permohonan).

Subseksyen (1) peruntukan seksyen 323 menyatakan bahawa seseorang hakim boleh memanggil dan memeriksa rekod sebarang perbicaraan mahkamah jenayah rendah dengan tujuan memuaskan hatinya tentang kebetulan, kebenaran dan munasabah sebarang pendapat, hukuman atau perintah yang direkodkan atau dijatuhkan, dan tentang mengikut aturan pembicaraan yang sedang dijalankan oleh makahmah rendah berkenaan.

Post a comment

0 Comments