Ibu tunggal maut, anak cedera dalam kemalangan


SEORANG wanita maut manakala anaknya yang berusia sembilan tahun cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan di Pulau Sebang, Alor Gajah di sini petang semalam.

Kemalangan membabitkan sebuah bas dan dua kereta di Jalan Kampung Kemuning itu turut mencederakan beberapa individu lain.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu yang dipetik laporan Sinar berkata wanita yang maut dikenali sebagai Rozila Mamat, 49 yang memandu Proton Persona.

Anak Rozila, Yasmin Iszara Baski dirawat di zon merah Hospital Tampin, Negeri Sembilan, manakala rakan Rozila, Suraya Suradi, 53, cedera.

Bomba mengeluarkan mangsa | Foto - Sinar
Individu lain yang cedera ialah penumpang bas, K Venoshini,27, dan Husarani A Sanmugan,54, dan pemandu Mercedes Benz, Chan Hian Fee,68, sementara seorang lagi pemandu bas, Zainal Yusof, 54, tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Ketika kejadian, ibu tunggal terbabit yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dalam perjalanan dari arah Tampin, Negeri Sembilan menghala ke Hutan Perca.

"Apabila tiba di lokasi kejadian di sebuah selekoh Jalan Kampung Kemuning, bas jenis Hino yang dipandu Zainal dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan yang dinaiki mangsa.

"Akibat kemalangan itu, kereta mangsa berpusing dan kemudian dirempuh sebuah kereta Mercedes Benz yang datang dari arah yang sama.

"Selain kanak-kanak terbabit yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Hutan Percha mengalami cedera parah, tiga lagi mangsa termasuk dua penumpang bas dan seorang penumpang kereta Proton Persona dihantar ke Hospital Tampin dan dirawat di zon kuning," katanya dipetik.

Sementara itu tambah Arshad, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Post a comment

0 Comments