Kanak-kanak Myanmar mati dipercayai didera


SEORANG pengawal keselamatan menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan dipercayai warga Myanmar yang dipercayai dibunuh.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, penemuan mayat kanak-kanak yang juga pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu diterima oleh pihak polis kira-kira jam 9.50 pagi semalam.

Lebih menyedihkan mayat kanak-kanak yang ditemui dihadapan kedai makan di Ampang Point itu disyaki dibunuh oleh insan terdekat gara-gara enggan menjamah makanan.

"Mayat kanak-kanak berusia lingkungan 6 tahun itu ditemui dalam keadaan terbaring dan masih berpakaian lengkap.

"Pemeriksaan pada badan mangsa mendapati, kesan lebam di beberapa bahagian anggota badan termasuk lengan dan badan," kata Noor Azmi dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, siasatan awal mendapati mangsa dipukul oleh ayah tirinya dengan menggunakan objek keras tumpul.

"Kita syak mangsa dipukul di tempat lain hingga menyebabkan kematian sebelum dibuang oleh suspek di kawasan yang ditemui selain polis juga mengesyaki mangsa telah dipukul di hotel terbabit," katanya.

Susulan itu tiga individu yang merupakan bapa tiri mangsa serta dua wanita yang juga pemegang kad UNHCR di tahan di sebuah hotel.

Manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan Kes diklasifikasi di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Post a comment

0 Comments