'Kedah Darul Makmur', apakah jenis menteri ni?


TOKOH Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin membidas satu kenyataan media yang dipercayai dikeluarkan oleh Menteri Terkanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam.

Ia susulan kenyataan itu disifatkan sebagai sangat mengelirukan dan ditulis dalam keadaan semberono yang terpaksa dibetulkan natizen.

Menurut kenyataan itu yang tular di laman sosial sejak semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu dijadulakan akan melawat negeri Kedah hari ini, 28 Mei.

Namun Kedah sudah ditulis sebagai Kedah Darul Makmur iaitu nama khas untuk negeri Pahang.

Lebih menarik lagi, bekas Timbalan Presiden KEADILAN yang menjadi dalang kepada 'Langkah Sheraton' itu turut dijadualkan akan bertemu dengan “Menteri Kedah” Mohamad Sanusi Md Nor di Wisma Darul Iman yang terletak di Kuala Terengganu pada jam 2 petang hari ini.

"Kedah Darul Aman dipanggil Darul Makmur. Darul Makmur tu Pahang.

"Ibu Pejabat Kerajaan Kedah namanya Wisma Darul Aman bukan Wisma Darul Iman. Wisma Darul Iman di Terengganu,” tulis beliau.

Melalui facebook beliau, Kadir bertanya, “Kalau siaran media Menteri Kanan merangkap Menteri MITI ini tulen, jelaslah ini memang kerja kelas ayam.”

“Tak ada kelas langsung. Diterbitkan dengan bangganya atas nama Menteri,” kata sambil mempersoalkan apakah Azmin selaku seorang menteri tidak menyemak terlebih dahulu kenyataan yang mahu disiarkan.

“Apa punya jenis Menteri. Dia tak baca ka? Atau dia harap pegawai, pegawai pun kelas ayam juga.” tambahnya.

Menurut Kadir, apa yang lebih memburukkan keadaan, Agensi berita Bernama pula menyalin bulat-bulat kenyataan itu dan melaporkan dalam berita Bahasa Inggeris dimana pertemuan itu akan berlangsung di “Wisma Darul Iman” dan bukannya Wisma Darul Aman.

Berita Bahasa Inggeris Bernama biasanya dilanggan oleh agensi berita antarabangsa dan kedutaan asing.
 

Post a comment

0 Comments