Kelindan maut lori terbabas dalam parit


SEORANG
kelindan warga Bangladesh maut apabila lori tiga tan dinaikinya terbabit kemalangan di kilometer 65.7 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, berhampiran susur keluar Pendang.

Dalam kejadian pagi Selasa itu, mangsa berusia sekitar 40-an dilapor meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala pemandunya berusia 30-an parah.

Difahamkan, lori berkenaan sedang dalam perjalanan menghantar barang sebelum kemudiannya terbabas ke dalam parit.

Punca kemalangan dipercayai akibat pemandu mengantuk.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sebaik menerima panggilan berhubung kejadian sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang bersama sembilan anggota dan dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Anggota penyelamat membantu mengeluarkan mangsa daripada lori terbabit. 

Pegawai perubatan yang tiba tidak lama kemudiannya mengesahkan kelindan tersebut meninggal dunia dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Berdasarkan maklumat komander operasi, seorang kelindan warga Bangladesh berusia 40-an meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori berusia 30 tahun mengalami patah tangan dan kaki," katanya dalam satu kenyataan di sini.



Post a comment

0 Comments