Kerajaan PN rapuh, mudah berubah - Tun M


KEDUDUKAN
kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Muhyiddin Yasin yang berkelebihan majoriti tipis boleh dengan mudah tergugat.

Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad berkata, ia dapat dilakukan menerusi usul undi tidak percaya dibawakan pembangkang di Dewan Rakyat.

"Soal majoriti ini bukan sesuatu yang tidak berubah. Ini kali pertama kita mempunyai sebuah kerajaan yang mempunyai majoriti yang amat tipis.

"Kalau dua tiga orang pindah dari parti kerajaan kepada parti lawan, kerajaan ini akan jatuh sebab itu kami percaya kalau kami dapat dedahkan kesalahan kerajaan, maka mungkin ada daripada parti kerajaan itu yang akan sokong," katanya pada satu sidang media sebelum ini.

Terdahulu, kedudukan sebenar pentadbiran Muhyiddin dilihat sangat rapuh dengan berkelebihan dua kerusi.

Bagaimanapun, perkiraan itu dibuat berdasarkan kedudukan kerusi Ahli Parlimen di Dewan dan bukan melalui undian.

Sementara itu tegas Dr Mahathir, usul undi tidak percaya adalah hak bagi setiap ahli Parlimen.

"Kalau kami tak kemukakan usul undi tidak percaya ini sudah tentu siapa pun tidak tahu kenapa usul ini dikemukakan.

"Ini hak saya sebagai ahli Parlimen. Bukan sebagai bekas Perdana Menteri. Saya berhak kemukakan usul tidak percaya kepada kerajaan," katanya.

Dr Mahathir sebelum ini mengemuka usul mencabar pelantikan Muhyiddin, namun Dewan Rakyat yang bersidang pada Isnin lalu hanya mendengar titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada istiadat pembukaan penggal ketiga Parlimen tanpa sebarang usul atau perbahasan.

Post a comment

0 Comments