Kes jangkitan terendah sejak PKP


MALAYSIA
terus mencatatkan kes baru jangkitan Covid-19 pada dua angka untuk hari kedua.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini berkata sebanyak 10 kes Covid-19 baru dicatatkan, yang merupakan jumlah kes  terendah yang dicatat sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

Jelasnya, perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan adalah sebanyak 7,629 kes.

Semalam sebanyak 15 kes direkodkan, setelah kes jangkitan yang sebelum ini menurun kepada dua angka meningkat kepada tiga sejak beberapa hari lalu. 

Dr Noor Hisham pada sidang medianya turut memaklumkan tiada kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini. Ia  bermakna lima hari berturut-turut tiada kematian akibat wabak berkenaan  sejak 22 Mei lalu.

Sebanyak 86 kes pula telah pulih dan dibenarkan keluar daripada hospital pada hari ini.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 6,169 kes iaitu 80.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Daripada jumlah itu jelasnya sebanyak 8 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan  empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, menurutnya jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 kini adalah sebanyak 1,345 kes.

"Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan," jelas Dr Noor Hisham.

Post a comment

0 Comments