Khalid dakwa bekas Setiausaha teraniaya


BEKAS
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad memaklumkan bekas Setiausaha Politiknya direman polis.

Khalid melalui muat naik di laman micro Twitternya berkata, bekas Setiausaha Politiknya yang dikenali sebagai Haji Azli ditahan berikutan aduan dari sebuah syarikat arkitek yang diberi Development Order (DO) palsu oleh seorang broker.

Bagaimanapun tegas Ahli Parlimen Shah Alam itu, beliau percaya apa yang berlaku adalah satu bentuk penganiayaan, broker itu tegasnya menerima ganjaran dengan menjual nama bekas setiausahanya yang kononnya mendapatkan surat berkenaan bagi pihaknya.

"Bekas SU (setiausaha) politik saya, Azli, direman polis semalam atas aduan sebuah syarikat yang diberi DO (surat) palsu oleh seorang 'broker'.

"Broker itu menerima ganjaran dengan menjual nama Azli yang kononnya mendapatkan DO berkenaan bagi pihaknya.

"Saya diberitahu, broker berkenaan telah menerima jutaan ringgit melalui kaedah menjual nama ini. Broker kaya, yang nama dijual teraniaya," katanya.

Media sebelum ini melaporkan bekas Setiausaha itu ditahan setelah dikaitkan dengan kes penipuan untuk mendapatkan kelulusan perancangan pembangunan membabitkan kerugian RM1 juta.

Petikan dari Twitter Khalid Samad
Harian Metro dalam laporan yang memetik sumber berkata, seorang arkitek berurusan dengan lelaki dipercayai bergelar Datuk serta isterinya masing-masing berusia 66 dan 43 tahun bagi mendapatkan kelulusan perancangan bangunan pembangunan pada awal Jun tahun lalu.

Selepas perbincangan, lelaki itu didakwa bersetuju menyerahkan wang tunai berjumlah RM 1 juta kepada suspek serta isterinya di Kuala Lumpur sebelum menerima surat yang diminta.

Mangsa kemudian membuat semakan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mendapati tiada surat dikeluarkan mahupun kelulusan diberikan kepada syarikatnya untuk perancangan bangunan seperti dijanjikan suspek.

Difahamkan, broker tersebut bersama pasangannya turut telah ditahan pihak polis. Khalid sementara itu berkata, beliau tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana ia sedang dalam siasatan polis.

 

Post a comment

0 Comments