'Khianat' ketika pendemik bawa banyak keburukan - Tan Kok Yew


PEMIMPIN
perlu terus menjaga integriti dan mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dengan tidak sesuka hati 'menukar baju' tegas Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew.

Katanya, pemimpin yang merasa tidak berpuas hati terhadap sesuatu boleh menggunakan saluran yang betul bagi memastikan kerajaan negeri terus bertahan sehingga PRU akan datang.

Sambil mengkritik percubaan menukar pentadbiran negeri ketika negara berdepan pandemik Covid-19, beliau menegaskan apa-apa tindakan 'khianat' hanya akan memberi lebih banyak kerosakan daripada kebaikan.

"PAS pada ketika ini tak boleh lah cucuk jarum, biarkan kerajaan yang ada fokus menjalankan tanggungjawab.

"Kita berperang apabila cukup tempoh lima tahun, jika merompak di tengah jalan, ia umpama memperkecilkan hak rakyat," katanya dipetik BH online.

Kok Yew berkata begitu ketika berlaku perjumpaan antara kepimpinan tertinggi PAS pusat dan negeri termasuk pimpinan UMNO negeri dipercayai bagi membincangkan peralihan kuasa kerajaan negeri dan calon Menteri Besar baharu.

Sementara itu, beliau yakin barisan EXCO sama ada daripada PH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan berdiri teguh di belakang kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Ia jelasnya bagi memastikan segala perancangan pembangunan untuk negeri Kedah dapat berjalan lancar dan tidak terhenti separuh jalan.

"Apabila dalam tempoh lima tahun, maka rakyat akan dapat menilai dan tentukan siapa yang akan dipilih untuk mewakili kerajaan untuk tempoh lima tahun seterusnya

"jika asyik bertukar kerajaan, pegawai kerajaan sendiri akan hilang fokus dan pening berikutan perlu ikut cara bos baharu mereka,"katanya.

Post a comment

0 Comments