K'jaan HARAPAN lebih baik dari BN dan PN - Anwar


KERAJAAN diketuai Pakatan Harapan (HARAPAN) yang tumbang melalui 'langkah Sheraton' jauh lebih baik dalam melaksanakan reformasi institusi, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pembangkang Parlimen itu dalam sesi secara langsung di Facebooknya berkata bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu  terkenal dengan amalan rasuah dan juga kurangnya kebebasan dalam bidang kehakiman dan akademik.

Namun tegasnya, apa yang dilihat dalam pentadbiran Perikatan Nasional (PN) ketika ini jauh lebih parah.

“Kita tidak senang dengan rampasan kuasa, pengkhianatan PN.

“Kita merasakan mereka (PH) ini lebih parah, kerana kerja mereka dalam keadaan pengangguran sudah mencecah ratusan ribu, harga barang dan inflasi melonjak naik. Apa yg mereka lakukan? Agih kekayaan dan kuasa dan kedudukan satu demi satu.

“Ini ghanimah harta seolah-olah rampasan dalam peperangan dia bahagikan. Ini ternyata sangat buruk dan merosakkan sistem dan pemikiran pimpinan,” kata Anwar.

Mengulas lanjut, Anwar berkata HARAPAN pada ketika pemerintahannya telah memperkenalkan reformasi institusi.

Bagaimanapun jelasnya lebih banyak perkara yang sepatutnya dilakukan sepanjang 21 bulan kekuasaannya kerana tindakan menangguh beberapa keputusan yang sepatutnya ditunaikan dengan baik telah menjadi kelemahan yang menyebabkan segelintir rakyat merasa tidak diberi pembelaan secukupnya.

“Tapi ini tidak boleh kita bandingkan dengan kedudukan BN ataupun PN kerana PH sebagai sebuah kerajaan telah memulakan beberapa perubahan institusi reform yang jauh lebih baik dari sebelumnya,” katanya.

Berikutan kejatuhan HARAPAN selaku kerajaan persekutuan, Anwar berkata mereka kini mereka tekad untuk bangun semula dan melakukan sesuatu yang lebih baik.

“Apa kita perjuangkan? Kita mampu ganti hanya kerana tekad kita untuk membuat sesuatu yng lebih baik.

“Hanya dengan menolak rasuah. Dengan menolak (guna) kuasa itu untuk memperkayakan suku-sakat kita,”  tegas Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu lagi.

Post a comment

0 Comments