K'jaan HARAPAN telah rangka pindaan atasi isu pemandu mabuk


KEMENTERIAN Pengangkutan ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) telah merangka beberapa cadangan pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi memperketat undang-undang berkaitan pemanduan di bawah pengaruh alkohol.

Perkara itu didedahkan sendiri bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke melalui satu kenyataan malam tadi.

Jelasnya, antara perkara yang mahu dipinda ialah dengan mengenakan hukuman lebih ketat terhadap pesalah dimana hukuman penjara ditingkatkan dari 10 kepada 20 tahun dengan meminda Sesyen 44.

"Meminda Seksyen 44 iaitu memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol yang menyebabkan kematian boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga maksimum 20 tahun dan minima 6 tahun (hukuman penjara sekarang ialah tidak kurang daripada 3 tahun tetapi tidak lebih daripada 10 tahun).

"Menurunkan kadar alkohol yang dibenarkan daripada 80 mg alkohol dalam 100 ml darah kepada 50 mg alkohol dalam 100 ml darah (atau kurang) mengikut piawaian World Health Organization.

"Meningkatkan denda dan penjara kepada pemandu yang melebihi had yang dibenarkan walaupun tidak terlibat dalam kemalangan," jelasnya.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP mengulas kejadian seorang lelaki maut di Kuantan, dipercayai dilanggar oleh seorang pemandu yang di bawah pengaruh alkohol serta memandu melawan arus pada malam 25 Mei lalu.

"Takziah kepada keluarga mangsa. Satu lagi nyawa terkorban diakibatkan oleh pemandu mabuk," katanya.

Loke juga berkata, pihaknya turut mencadangkan untuk menggantung lesen memandu untuk seumur hidup sekiranya seseorang didapati bersalah menyebabkan kematian semasa memandu dalam keadaan mabuk.

Beliau turut menyuarakan pendirian parti itu bahawa individu yang mabuk tiada hak untuk memandu dan membahayakan orang lain.

"Pemandu mabuk mesti dihukum seberat-beratnya. Saya berpendapat seseorang pemandu mabuk yang telah meragut nyawa orang lain tidak layak untuk memandu di atas jalan raya," katanya lagi. 

Selasa lalu,  seorang lelaki maut dalam nahas jalan raya ketika dalam perjalanan untuk bertugas syif malam di Jalan Pintasan Kuantan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata, polis menerima maklumat dari orang awam mengenai seorang mangsa yang dipercayai dilanggar oleh seorang pemandu yang di bawah pengaruh alkohol serta memandu melawan arus pada kira-kira jam 9.38 malam.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila pemandu kereta jenis Toyota CHR yang datang dari arah Semambu itu telah memasuki jalan menghala ke pelabuhan secara melawan arus.

Beberapa kenderaan lain turut mengalami kemalangan kerana mengelak dari bertembung.

Post a comment

0 Comments