K'jaan Negeri Sembilan selamatkan gelandangan


KERAJAAN
Negeri Sembilan menyelamatkan 29 orang gelandangan di yang ditemui berkeliaran dan keseorangan tanpa hala tuju ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga, dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, kesemua mereka melibatkan 26 lelaki dan tiga wanita berusia antara 19 hingga 61 tahun.

Kesemua gelandangan mereka kini jelasnya ditempatkan di Pusat Pelindungan Sementara Gelandangan (PPSG), Dewan Orang Ramai Taman Tasik Jaya.

"Jumlah penghuni di pusat itu sentiasa berubah kerana ada keluarga yang datang menuntut waris mereka.

"Gelandangan ini diselamatkan bagi mengelakkan mereka dijangkiti koronavirus (Covid-19) jika terus berada di luar tanpa penjagaan kesihatan dan kebersihan yang sempurna," kata dipetik laporan Sinar.

Tambah Nicole, pusat itu menyediakan pelbagai aktiviti kepada penghuni antaranya bergotong-royong membersihkan kawasan pusat, membaca surat khabar, berkaraoke, bermain karom dan menonton televisyen dengan menggunakan projektor.

"Bagi bulan Ramadan ini, penghuni yang beragama Islam akan diberi makanan semasa bersahur dan juga waktu berbuka.

"Segala keperluan mereka dijaga rapi bagi memastikan keselesaan mereka terus terjamin," jelasnya.

Sementara itu Nicole yang juga ADUN Bukit Kepayang menegaskan bahawa penghuni perlu mematuhi semua protokol Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) turut ditugaskan untuk memantau pusat berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan langkah Kerajaan negeri itu memperuntukkan RM20,000 bagi menyediakan pusat perlindungan sementara tersebut.

Bantuan secara berfasa ini penting bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19) dalam kalangan gelandangan.

Post a comment

0 Comments