K'jaan Sabah terus kukuh, ADUN nafi akan sokong PN


SEORANG
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari  Parti Warisan Sabah (Warisan) menafikan khabar angin kononnya beliau antara 18 Adun yang dikatakan akan bertukar haluan menyokong Perikatan Nasional (PN).

Adun Tanjung Kapor Ben Chong menegaskan, beliau tetap setia kepada Warisan dan menyokong pentadbiran negeri sedia ada.

“Tidak ada mana-mana Adun daripada blok kerajaan yang akan bertukar arah. Cakap-cakap itu hanyalah sebahagian daripada taktik kotor yang digunakan pembangkang. Mereka berbohong pada bulan Ramadan,” kata timbalan menteri perdagangan dan industri negeri Sabah itu.

Anggota Majlis Tertinggi Warisan itu turut membidas kenyataan ketua Pemuda Umno Sabah Abdul Aziz Julkarnain bahawa kononnya ketidakhadiran 24 Adun di majlis menunjukkan sokongan kepada Shafie baru-baru ini adalah tanda perasaan tidak puas hati mereka.

Chong berkata, himpunan besar adalah bertentangan dengan prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan jangkitan Covid-19.

"Sabah melarang himpunan melebihi 20 orang," jelasnya mengenai kehadiran 19 daripada 48 Adun pada satu sidang media yang melibatkan ahli Warisan, Upko, KEADILAN dan DAP Sabah baru-baru ini.

Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan negeri pimpinan Warisan dan Pakatan Harapan (HARAPAN) di negeri itu  tetap utuh dengan sokongan 48 Adun, dan pembangkang bakal berdepan laluan sukar untuk menjatuhkannya.
 

Post a comment

0 Comments