Langgar PKP: Anak Zahid bakal didakwa


ANAK Presiden Umno, Nurul Hidayah Ahmad Zahid dan suami, Saiful Nizam Mohd Yusoff akan didakwa dibawah kesalahan melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Huzir Mohamed yang berkata, arahan mengenainya telah dikeluarkan Pejabat Peguam Negara.

Melalui satu kenyataan, Huzir berkata pendakwaan akan dibuat dalam masa tempoh terdekat.

"Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) JSJ Bukit Aman dan kedua-duanya telah diambil keterangan pada 24 April lalu.

"Siasatan mendapati Nurul Hidayah telah memuat naik gambar di Instagram dengan beberapa kapsyen tentang pertemuannya dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Ahmad Masrizal Muhammad.

“Polis ingin menegaskan sekali lagi, tidak ada sesiapa akan terlepas daripada tindakan sekiranya didapati dengan sengaja melanggar apa-apa jua undang-undang negara,” katanya.

Seksyen 269 Kanun Keseksaan merujuk kepada perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya kepada nyawa.

Mereka turut disiasat bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit berjangkit kerana melakukan pergerakan tanpa kebenaran.

Nurul Hidayah, 41,sebelum ini memuat naik beberapa gambar di Instagram ketika dia dan suaminya bertemu Dr Zulkifli serta Ahmad Masrizal di pejabat masing-masing.

Tindakan itu mencetus rasa kurang senang dikalangan warganet memandangkan ia dilakukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19 dikuatkuasakan.

Post a comment

0 Comments