Lelaki maut dirempuh kereta lawan arus


TINDAKAN seorang individu memandu kereta melawan arus mengorbankan nyawa orang lain.

Dalam kejadian di susur masuk Jambatan Pulau Pinang kira-kira jam 10. 35 pagi semalam, seorang penunggang motosikal maut dan seorang lagi penunggang motosikal cedera dirempuh kereta berkenaan.

Mangsa terbunuh dikenali sebagai Muhamad Hafiz Bakri, 31, yang meninggal dunia di tempat kejadian manakala Lim Kar Tian, 34, patah kaki kiri.

Mayat Hafiz dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat, manakala mangsa parah dihantar ke hospital sama untuk dirawat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, polis masih dalam usaha mengesan pemandu Produa Myvi berkenaan yang didapati tiada di lokasi ketika kejadian.

“Menurut pengguna jalan raya yang melihat kemalangan itu, pemandu Perodua Myvi tersebut terus memecut meninggalkan lokasi kejadian selepas melanggar 2 motosikal itu sehingga seorang maut, manakala seorang lagi cedera parah.

“Difahamkan, terdapat kerosakan pada bahagian depan kereta tersebut, namun menurut pengguna jalan raya lain, mereka tidak dapat mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan itu,” katanya hari ini.

Usaha mengesan pemandu Produa Myvi berwarna putih itu giat dijalankan, polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup berhampiran lokasi kejadian bagi mengenal pasti nombor pendaftaran kereta itu untuk mengesan pemandunya.

Dalam masa sama, polis meminta kerjasama orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil memberikan maklumat.
 
Polis kini menyiasat kes kemalangan itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Post a comment

0 Comments