MAA bimbang polisi kucar kacir pentadbiran Muhyiddin


POLISI
tidak menentu pentadbiran Muhyiddin dalam menangani wabak koronavirus (Covid-19) dipersoal Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presidennya, N Ganabaskaran melalui satu kenyataan mendakwa berlaku kekeliruan dalam kalangan pekerja, majikan dan doktor berhubung polisi kerajaan semasa  membuka kembali ekonomi baru-baru ini.

"Ppolisi tidak menentu kerajaan tanpa garis panduan jelas mengenai ujian saringan kepada tenaga kerja sebelum perniagaan kembali dibenarkan beroperasi mengikut perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) menyebabkan pemilik perniagaan, pekerja dan doktor di negara ini keliru serta kecewa," kata MMA.

Ganabaskaran memberi contoh dimana Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada awalnya hanya melancarkan program ujian untuk pekerja berdasarkan kit ujian cepat antibodi (RTK) dan kemudian beralih ke ujian Reverse Transcriptase - Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

"Semasa pertemuan dengan pihak atasan Perkeso, kami diberitahu bahawa ujian saringan pekerja akan bermula melalui klinik-klinik yang berada di panel program pemeriksaan kesihatan (HSP) mereka.

"Sekarang kami diberitahu bahawa di bawah program saringan Perkeso, hanya metod saringan RT-PCR yang akan digunakan," katanya lagi.

Ganabaskaran turut membangkitkan isu kekeliruan yang timbul susulan pengumuman Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) baru-baru ini.

"Menambah lagi kekeliruan mengenai ujian pekerja ialah pengumuman Miti bahawa syarikat-syarikat boleh meneruskan operasi perniagaan dari 4 Mei tanpa surat persetujuan kementerian dan pemeriksaan pekerja Covid-19 bukan mandatori.

"Ini bertentangan dengan pengumuman sebelumnya mengenai syarat ujian saringan untuk semua pekerja," jelasnya.

Keadaan itu menurut beliau menyebabkan sesetengah pihak berasa tidak selamat dengan penularan wabak Covid-19 masih belum berakhir.

Sehubungan itu, MAA melalui kenyataan tersebut mendesak kerajaan agar bersikap jelas mengenai polisinya terutama berkaitan ujian saringan terhadap pekerja asing.

"Kami merayu agar kerajaan menyediakan garis panduan yang lebih jelas dan tepat bagi memastikan kelancaran pelaksanaan SOP kerana ramai masih tidak tahu apa langkah yang perlu diambil seterusnya.


"Kami percaya kekeliruan mengenai ujian saringan terhadap pekerja tidak akan terjadi jika pengumuman dibuat setelah menerima garis panduan daripada Kementerian Kesihatan," tegas kenyataan tersebut.

Post a comment

0 Comments