Maahad tahfiz di Lancang kena perintah PKPD


SEBUAH maahad tahfiz di Lanchang, Pahang dikenal pasti sebagai kluster baru koronavirus (Covid-19) dan diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa pihaknya mengenal pasti 6 kes dari sekolah itu setakat ini dan telah menyaring 50% kakitangan dan pelajarnya.

“Sekolah itu kini diletakkan di bawah PKPD. Kita akan mengendalikan sekolah itu seperti sekolah tahfiz di Sungai Lui,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, walaupun sekolah itu kini ditutup, tetapi terdapat sebilangan pelajar dan kakitangannya masih berada di situ. Bagaimanapun beliau tidak memaklumkan tempoh tahfiz di Lanchang itu akan diletakkan di bawah PKPD.

Mengulas lanjut beliu turut berkata, individu yang merupakan kontak rapat 6 kes di tahfiz Lanchang turut akan dikuarantin.

Maahad tahfiz ini merupakan lokasi ke-8 dikenakan PKPD di seluruh negara.

Lokasi lain termasuk Selayang Baru, pasar borong Selayang, kawasan sekitar Jalan Masjid India, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Selangor Mansion, Malayan Mansion dan Menara City One di Kuala Lumpur, selain kampung di Sungai Lui, Hulu Langat dan Simpang Renggam di Johor.

Post a comment

0 Comments