Mahathir dakwa Bersatu masih dalam HARAPAN


PENGERUSI
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan parti dipimpinya masih sebahagian Pakatan Harapan (HARAPAN).

Pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya hari ini, bekas perdana menteri itu berkata, Bersatu akan kekal dalam gabungan itu selagi Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) tidak membuat keputusan sebaliknya.

"Masih (dalam HARAPAN), sehingga keputusan untuk keluar dibuat oleh MPT.

"Jika kita mahu keluar, (maka) kita akan keluar," katanya menjawab soalan pemberita berkenaan status semasa Bersatu.

Persoalan itu timbul susulan kenyataan Mahathir dalam sidang media tersebut bahawa Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin membawa parti itu keluar daripada HARAPAN tanpa melalui MPT.

"Pertamanya, MPT Bersatu tak pernah buat keputusan untuk keluar daripada HARAPAN. Seperti yang kita semua tahu, dalam rakaman (audio) Muhyiddin beri seminggu kepada saya untuk buat keputusan.

"Tetapi sebelum genap seminggu, dia ambil tindakan seolah-olah dia tiada dalam HARAPAN lagi. Ini bertentangan dengan perlembagaan parti.

"Kita juga dapati bahawa dia buat keputusan tanpa kelulusan MPT dan hari ini diisytiharkan bahawa dia sudah jadi sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN), yang sebelum ini Umno kata tiada (gabungan) PN.

"Jadi apa yang berlaku ialah Muhyiddin telah menyertai PN sebelum ia ditubuhkan, dan ia dibuat tanpa sebarang keputusan daripada MPT Bersatu," tegas Ahli Parlimen Langkawi itu.

Pada 24 Februari, Muhyiddin mengumumkan Bersatu telah meninggalkan PH dan berkata keputusan dibuat ketika satu mesyuarat khas sehari sebelumnya.

Langkah itu mencetuskan krisis dalaman Bersatu, memandangkan Mahathir dan sejumlah anggota parlimen dan pemimpin parti yang menyokongnya enggan mengiktiraf keputusan Muhyiddin.

Krisis itu berterusan dan membawa kepada kewujudan dua setiausaha agung, masing-masing dikaitkan dengan Mahathir dan Muhyiddin.

Akhir Februari lalu, Muhyiddin bersama-sama bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali, serta sekumpulan anggota Parlimen, bersama Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan beberapa parti kecil, menubuhkan kerajaan baru.

Post a comment

0 Comments