Mahu pulang jumpa anak, lelaki ditemui mati tepi jalan


LELAKI
yang ditemui meninggal dunia di tepi jalan di Muadzam Shah, Pahang baru-baru ini dipercayai cuba pulang menemui anaknya.

Memetik laporan Harian Metro, lelaki berusia 30 tahun itu didakwa sebelumnya berjalan dari Segamat, Johor menuju ke kampung halamannya di Kuala Terengganu.

Ujian saringan ketika bedah siasat dijalankan terhadap jenazahnya pula mendapati mangsa positif Covid-19.

"Arwah dikatakan terlalu rindukan anaknya di kampung menyebabkan dia berkeras untuk pulang dengan berjalan selepas sekian lama terpisah dengan keluarga sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula.

"Ada sumber memaklumkan kepada kami, arwah ada melintasi lokasi sekatan jalan raya (SJR) dan anggota bertugas melihatnya dalam keadaan lemah serta tidak bermaya.

"Atas ihsan mereka, arwah diberikan makanan dan dinasihatkan untuk tidak meneruskan perjalanannya. Namun, dia berkeras untuk berjalan pulang sejak Jumaat lalu," katanya Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia, Rafie Zainal dipetik.

Difahamkan, jenazah kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan, Pahang

Sementara itu Rafie berkata, waris lelaki itu ada meminta pihak berkuasa mengesan kedudukan arwah selepas gagal dihubungi kerana bimbang terhadap keselamatan dirinya.

"Menurut kakak arwah yang menghubungi kami, arwah adiknya itu sangat bertanggungjawab pada keluarganya. Walaupun terkejut dengan khabar berita kematian adiknya itu, dia dan keluarganya tetap reda dengan apa yang berlaku," tambahnya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kes kematian itu yang merupakan kes kematian ke-110 berkaitan Covid-19 di negara ini.

Menurutnya,  kes di bawah siasatan pihak polis dan Pejabat Kesihatan Rompin manakala punca jangkitan belum dikenalpasti serta masih dalam siasatan.

Post a comment

0 Comments