Mandat rakyat pada HARAPAN masih kekal


Oleh
Mohamed Hanipa Maidin | Saya membaca kenyataan beberapa orang penganalisis politik seperti yang dilaporkan dalam media - misalnya di Malaysiakini - mengenai perkembangan semasa politik dalam negara.

Mereka, antara lain, menyarankan agar Pakatan Harapan (HARAPAN) memberi tumpuan kepada PRU15 untuk mengambil kerajaan dan bukannya melakukan hal itu pada masa sekarang.

Seorang pemimpin Umno pula dilaporkan oleh akhbar Sinar Harian dengan bangga menggunakan ucapan titah yang di-Pertuan Agong semasa hari perasmian sidang parlimen pada 18 Mei lalu bagi menunjukkan kononnya kerajaan yang ada sekarang ialah "kerajaan Tuanku".

Gabungan Perikatan Nasional
Pertamanya, saya ingin ucapkan terima kasihlah kepada para penganalisis politik tersebut atas analisis mereka. Maaf - dan dengan penuh hormat - jika saya katakan bahawa analisis anda semua bernilai amat amat rendah dan hampir mencapai tahap tidak ada nilai.

Saya tidak pasti di mana anda semua simpan disiplin ilmu anda.

Keduanya, sekiranya kritikan anda semua itu benar-benar jujur, cadangan anda semua (bahawa perlu tunggu hingga PRU15 untuk ambil alih kerajaan) itu sewajarnya ditujukan kepada Perikatan Nasional (PN) yang membentuk kerajaan sekarang tanpa sebarang mandat rakyat dalam sebarang pilihan raya.

Ia diakui sendiri oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semasa berucap secara langsung di televisyen baru-baru ini. Bagi saya ia sesuai dinobatkan sebagai Ucapan Mak Cik Kiah.

Dibentuk secara sah, bermoral

Ketiga, jika HARAPAN kembali berkuasa pada masa ini, hakikatnya ia berkuasa semula dengan mandat rakyat yang diberi oleh rakyat menerusi PRU14.

Mandat tersebut tidak pernah ditarik balik! Bukankah mandat itu untuk tempoh lima tahun? Justeru, siapa yang tidak hormat kepada mandat rakyat tersebut?

Pakatan Harapan menang PRU 14
Keempat, meminta agar HARAPAN menunggu sehingga PRU15 nampaknya berdasarkan andaian atau premis bahawa kerajaan PN ini wajar dibiarkan mentadbir beberapa tahun lagi.Pun begitu ada beberapa fakta yang perlu diperhatikan, iaitu:
  • Ia merupakan kerajaan yang memiliki saiz kabinat yang lebih besar berbanding PH.
  • Kerajaan PN meriah mengagih-agihkan ghanimah kepada aktor-aktor politik seperti pelantikan sebagai duta khas bertaraf menteri dan pelantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi 'membeli' kesetiaan
  • Ia merupakan kerajaan yang lebih teruja 'membebaskan' insan yang terpalit dengan skandal mega 1MDB.

Sedarkah para penganalisis berkenaan mengenai semua realiti ini, selain banyak isu lain membabitkan imej negara, ekonomi, pelaburan asing, keyakinan pelabur dan sebagainya?

Kelima, kerajaan PH yang ditumbangkan oleh PN sekarang adalah kerajaan yang tidak ada sedikit pun 'daki' ketakabsahan (legitimacy) sama ada dari sudut perlembagaan, proses demokrasi atau dari sudut moral dan agama.

Di mana suara mereka sebelum ini

Tiada sedikit pun elemen pengkhianatan dalam pembentukan kerajaan HARAPAN. Ia dibentuk secara sah, secara bermoral dan beretika sambil menjunjung tinggi semangat dan ruh Perlembagaan Persekutuan.

Ia adalah sepenuhnya kerajaan rakyat yang mewakili semua bangsa, etnik dan agama.

Ya, benar, kerajaan HARAPAN itu tidaklah sempurna. Ada kelemahan di sini sana. Namun siapa yang boleh menafikan kesungguhan kerajaan HARAPAN bagi membetulkan kerosakan amat teruk yang ditinggalkan oleh kerajaan sebelum ini?

Kesungguhan itu boleh dilihat oleh ramai orang di dalam atau di luar negara. Semasa saya bertugas di luar negara atas kapasiti anggota pentadbiran kerajaan HARAPAN, ramai rakan sejawat saya di luar yang bukan sahaja memuji kita malah lebih daripada itu mereka berjanji untuk membantu.

Saya masih ingat mantan perdana menteri - Dr Mahathir Mohamad - sering mengatakan bahawa hanya setelah beberapa bulan HARAPAN mengambil alih tampuk pemerintahan negara, usaha menukar imej negara ini yang dikenali sebagai negara kleptokrat mula menunjukkan hasilnya.

Keenam, saya tertanya-tanya di mana suara para penganalisis politik itu semua ketika PN mengambil alih kerajaan HARAPAN secara tidak bermaruah hingga digelar kerajaan pintu belakang atau kerajaan tebuk atap?

Ya, di mana suara mereka ketika Langkah Sheraton digerakkan?

Dimana penganalisis ketika Langkah Sheraton?
Kenapa - pada masa itu - kita tidak dengar mereka menasihati PN agar menunggu sehingga PRU15 untuk menjadi kerajaan?

Tentang isu "kerajaan Tuanku" atau "kerajaan beta" itu, maaflah, takkanlah serendah itu tahap politik mereka? Kenapa terlalu paranoid dengan lafaz itu?

Dalam sistem demokrasi ala Westminster yang menjunjung prinsip raja berperlembagaan, tiada sebarang keanehan pun dengan istilah tersebut. Ia fenomena yang lumrah. Saya rasa aneh apabila ada yang sanggup mengeksploitasi istilah berkenaan.

Amat tidak wajar dan amat tidak beretika sama sekali untuk mengheret institusi diraja - sama seperti tidak wajar mengeksploitasi isu agama dan perkauman - demi kelangsungan jangka hayat politik yang kita tahu sedang begitu nazak sekarang.

MOHAMED HANIPA MAIDIN ialah bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri dan kini menjadi anggota parlimen Sepang.

Tulisan ini disalin daripada Malaysiakini dan ia tidak mencerminkan pendirian rasmi Kartel.

Post a comment

0 Comments