MB Kedah jangan tunduk pada tauke balak - Raja Bahrin


BEKAS Pemimpin PAS, Raja Kamarul Bahrin Shah menyindir pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di Kedah berhubung isu pembalakan di negeri itu.

Beliau yang kini Pengerusi Biro Alam Sekitar Amanah berkata, belum pun dua minggu Muhammad Sanusi yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah mengambil pentadbiran negeri itu dari Pakatan Harapan (HARAPAN) isu pembalakan kembali bergema.

“Nampaknya balak dan PAS tidak boleh dipisahkan dan isu balak kerajaan PAS 2008-2013 telah kembali dihidupkan semula,” katanya menyindir parti lamanya itu.

Sebelum ini isu Sanusi berkata, Kerajaan Negeri mempertimbangkan pembukaan semula konsesi balak di negeri itu.

Langkah itu dakwanya bagi menyelesaikan masalah tuntutan ganti rugi bernilai RM1.5 bilion yang berbangkit setelah kelulusan konsesi dibatalkan kerajaan negeri sebelum ini.

Difahamkan, konsesi di kawasan seluas 22,098 hektar di Hutan Simpan Ulu Muda diberikan ketika pentadbiran PAS antara tahun 2008 dan 2013, namun digantung selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) mengambil alih kerajaan negeri kerana mahu dilindungi sebagai  kawasan tadahan air.
 
Bekas menteri besar Kedah Mukhriz Mahathir bagaimanapun mendakwa jumlah tuntutan itu sebagai “pembohongan” kerana pihak menuntut pampasan daripada kerajaan Kedah sehingga mencecah RM1.0 bilion.

Rancangan Sanusi itu turut dikritik Pertubuhan Pelindung Khazanah Negara (Peka).

Presidennya, Shariffa Sabrina Syed Akil menyifatkannya sebagai satu langkah terkebelakang.

Sementara itu, Raja Bahrin turut menggesa Menteri Alam Sekitar Tuan Ibrahim Tuan Man campur tangan dalam isu yang “berpotensi menjadi masalah nasional” itu.

“Kedah merupakan pengeluar padi terbesar Malaysia dan Pulau Pinang pula adalah pengeluar industri elektronik utama negara.

“Masalah alam sekitar hutan Kedah akan menjadi masalah utama nasional jika masalah ini berterusan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan Sanusi Md Nor tidak mudah “dipujuk dan ditundukkan tauke balak”.

“Janganlah pula menteri besar PAS mudah dipujuk serta ditundukan oleh tauke-tauke balak yang kaya yang akan menjejaskan hidup petani serta pekebun miskin di kampung dan desa di Kedah dan Kelantan.

“Merekalah yang lebih perlu pembelaan dan bukan peniaga besar tauke balak,” katanya.

Post a comment

0 Comments