MEF gesa ambil langkah drastik kekalkan pekerja


PERSEKUTUAN
Majikan Malaysia (MEF) menggesa kerajaan mengambil langkah drastik membantu majikan agar mampu bertahan dan apat mengekalkan pekerja.

Pengarah Eksekutif MEF Shamsuddin Bardan yang dipetik Malaysiakini berkata, dana Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan bantuan sebanyak RM600 sebulan kepada pekerja yang menerima notis cuti tanpa gaji oleh majikan yang terjejas akibat Covid-19, tidak mencukupi.

“Kerajaan perlu meningkatkan bantuan kepada majikan supaya majikan terus bernafas dan tidak gulung tikar semasa PKPB.

"Bantuan tunai yang disalurkan kepada majikan swasta masih terlalu kecil dan tidak memberi insentif yang sewajarnya untuk majikan mengekalkan pekerja-pekerja sedia ada,” kata Shamsudin.

Tegasnya, jumlah bantuan ERP terlalu kecil dan hanya mampu menampung 0.8 peratus jumlah pekerja formal di sektor swasta.

Beliau mencadangkan dana tersebut  ditambah lagi bagi menampung anggaran 2 juta pekerja yang kemungkinan besar menghadapi kehilangan pekerjaan.

Shamsuddin sementara itu mencadangkan kerajaan menggunakan wang simpanan negara yang ketika ini menurutnya melebihi RM400 bilion bagi membantu majikan dan pekerja sepanjang PKPB dan pasca PKPB.

“Ini adalah masanya untuk kerajaan membantu majikan dan pekerja kerana jika majikan telah gulung tikar memang lebih sukar untuk mereka memulakan semula perniagaan mereka,” katanya.

Selain itu, Shamsuddin juga menyarankan kerajaan mengurangkan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibayar majikan kepada lima peratus.

Jelasnya, dengan cara itu, ia dapat membantu mengurangkan kos perniagaan dan menambah aliran tunai majikan.

Kata Shamsuddin lagi, pekerja yang ditamatkan perkhidmatan akan sukar memperoleh pekerjaan baru kerana kebanyakan majikan sedang melaksanakan polisi pembekuan pengambilan pekerja.

"Kalau majikan ada dana untuk bayar gaji penuh untuk dua bulan sahaja, kita mesti mencari jalan bagaimana untuk membolehkan majikan itu membayar gaji sehingga enam bulan, dengan menggunakan dana yang sama.

“Sudah tentu ia memerlukan peraturan baru di mana majikan perlu diberi kebenaran untuk membayar kurang dari gaji penuh supaya ia boleh terus mengekalkan pekerja untuk tempoh yang lebih lama.

“Namun adalah amat penting untuk pekerja kekal dalam pekerjaan,” jelasnya.
 

Post a comment

0 Comments