M'sia catat kes harian terendah sejak PKP


JUMLAH kes baru jangkitan Covid-19 hari ini kembali kepada dua angka.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang akhbarnya di Putrajaya memberitahu, sebanyak 15  kes baru dicatatkan yang merupakan kes positif terendah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Dengan perkembangan terbaru itu, Malaysia kini mencatatkan jumlah keseluruhan kes jangkitan sebanyak 7,619.

Daripada 15 kes baru yang dilaporkan itu, enam kes terdiri daripada kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada sembilan kes penularan tempatan pula, empat kes adalah bukan warganegara Malaysia,’ katanya.

Tambah Dr Noor Hisham lagi, setakat tengah hari tadi, 42 lagi pesakit sembuh sepenuhnya, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih dari jangkitan wabak itu ialah 6,083 orang atau 79.8 peratus.

Tiada kematian baru akibat wabak itu dilaporkan hari ini, jumlah kumulatif maut kekal 115 kes atau 1.51 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Setakat siang tadi juga jumlah kes aktif Covid-19 sekarang adalah 1,4421 kes.

Sehingga kini, terdapat lapan kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata, penurunan kes Covid-19 penularan tempatan ini adalah selaras dengan unjuran sebelum ini oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Post a comment

0 Comments