Muhyiddin hanya ada 111 sokongan Ahli Parlimen?


JUMLAH
sebenar sokongan dimiliki Ahli Parlimen Pagoh, Muhyiddin Yasin sebagai perdana menteri terus menjadi tanda tanya sehingga kini.

Walaupun mendakwa mempunyai cukup majoriti, namun jumlah sokongan itu belum diuji di dalam Dewan Rakyat. 

Portal Malaysiadateline dalam laporannya baru-baru ini mendakwa, jumlah sebenar sokongan dimiliki kerajaan Perikatan Nasional dipimpin Muhyiddin dan pembangkang yang diketuai Pakatan Harapan (HARAPAN) sebenarnya sama banyak iaitu 111 kerusi.

Ini menurut portal itu setelah Ahli Parlimen Sri Aman dan Selangau secara terbuka memihak kepada HARAPAN

"Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat pada hari  Majlis Pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 menyatakan beliau sebenarnya menyokong pembangkang sama ada di peringkat persekutuan mahupun di Sarawak.

"Anggota Parti Bersatu Sarawak (PSB) itu menjelaskan beliau diberikan tempat duduk bersama penyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

"Manakala Ahli Parlimen Selangau Baru Bian dikatakan sudah ‘u-turn’ menyatakan sokongan kepada Tun Mahathir Mohamad dalam Dewan Rakyat yang mempunyai 222 anggota itu," kata laporan itu.

Berdasarkan pelan tempat duduk di Dewan Rakyat yang dikeluarkan oleh kakitangan parlimen pada 18 Mei lalu menunjukkan  seramai 114 ahli parlimen (termasuk Masir) duduk di blok kerajaan manakala 108 di blok pembangkang.

Selepas ditolak Masir dan Baru, kedudukan ahli parlimen kerajaan menjadi 112 orang dan 110 untuk pembangkang yang kini diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, jika ditambah dengan sokongan Timbalan Speaker  dari DAP, Nga Kor Meng (Taiping) yang masih disusun di blok kerajaan, difahamkan kedudukan kedua-dua pihak kini sama banyak iaitu 111 setiap blok.

Sebelum ini HARAPAN mendesak agar persidangan di Dewan Rakyat dilanjutkan. bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut membawa usul tidak percaya kepada pentadbiran Muhyiddin.

Namun desakan agar sidang Dewan dilanjutkan  ditolak pentadbiran Muhyiddin atas alasan risiko penularan Covid-19.

Malah sidang pada 18 Mei lalu turut disingkatkan kepada titah diraja oleh Yang di-Pertuan Agong sahaja atas dasar yang sama.

Banyak pihak beranggapan tindakan melengah-lengahkan sidang di Dewan Rakyat itu sebagai satu bukti ketakutan pentadbiran Muhyiddin yang sebelum ini mendakwa mereka mempunyai cukup majoriti dalam Dewan Rakyat.

Post a comment

0 Comments