Naib Presiden Umno kritik Azmin


MENTERI
Ekonomi, Mohammad Azmin Ali didakwa gagal berbincang dengan kerajaan negeri berhubung langkah membenarkan sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan beroperasi semula di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Naib Presiden Umno, Khaled Nordin yang dipetik laporan FMT berkata,  keputusan penting itu perlu dibincangkan bersama semua kerajaan negeri untuk mendapatkan persetujuan mereka sebelum PKPB boleh dilaksanakan.

“Kegagalan ini menunjukkan kelemahan ketara dalam kepimpinan, strategi dan penyelarasan yang berkaitan dengan pemulihan ekonomi negara.

“Ia telah merumitkan sektor perniagaan dan perdagangan kerana ekonomi Malaysia sifatnya adalah rentas negeri dan sempadan,” katanya dalam kenyataan.

Jumaat lalu, pentadbiran Muhyiddin Yassin mengumumkan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan mulai semalam, tetapi tertakluk kepada syarat dan prosedur operasi standard.

Keputusan itu turut dikritik sebahagian ramai rakyat yang bimbang wabak itu menular semula.

Beberapa kerajaan negeri turut memberi reaksi berbeza, antara Sabah yang tidak akan melaksanakan PKPB, Kedah dan Kelantan menangguhkan pelaksanaan itu sehingga mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri berbincang mengenainya pada minggu ini.

Perak dan Selangor pula tidak membenarkan orang ramai makan di restoran dan pengusaha hanya dibenar menawarkan perkhidmatan bawa pulang, penghantaran serta pandu lalu.

Khaled yang juga bekas menteri besar Johor berkata, kegagalan Azmin berbincang dan mendapatkan persetujuan semua kerajaan negeri hanya akan menjejaskan kewibawaan kerajaan persekutuan dalam menangani fasa pemulihan ekonomi negara.

Beliau turut menyifatkan kegagalan itu sebagai permulaan tidak baik yang akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional.

“Hubungan kerajaan pusat dan negeri menampakkan ‘the new normal’. Zaman di mana semua kebitaraan adalah pada kerajaan pusat telah berakhir.” katanya dipetik.

Post a comment

0 Comments