NGO lancar petisyen bantah longgar PKP


SATU petisyen menggesa kerajaan menimbang semula keputusan melonggarkan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula Isnin depan dilancarkan sebuah  NGO kesihatan.

Galen Centre berkata kerajaan perlu memberikan masa drkurang-kurangnya seminggu kepada komuniti perniagaan untuk membuat persediaan dan memahami prosedur operasi standard (SOP) baru yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Jelas mereka, tempoh singkat diberikan mungkin akan menyebabkan pelaksanaan SOP tidak berjaya.

Ia tegas mereka akan menimbulkan kemarahan orang ramai dan lebih parah bakal membuka semula risiko peningkatan jangkitan koronavirus (Covid-19).

"Kepatuhan yang berjaya memerlukan pemahaman dan persediaan. Masa dua hari tidak mencukupi.

"Majikan dan pekerja di pejabat, kedai runcit dan kedai makan dan lain-lain tempat kerja tidak mungkin diberi taklimat secukupnya dan dilatih kepada pencegahan khusus terhadap penyakit berkenaan mengikut lokasi kerja mereka," menurut petisyen itu.

Semalam,  Muhyiddin Yassin berkata kebanyakan sektor perniagaan akan kembali beroperasi Isnin ini dengan syarat mematuhi SOP, termasuk penjarakan sosial.

Sementara itu, mereka turut menyuarakan rasa khuatir bahawa pengorbanan rakyat Malaysia sebelum ini dalam mematuhi PKP bagi melandaikan kadar jangkitan dan kematian akibat Covid-19  menjadi sia-sia dengan keputusan terbaru itu.

"Terdapat risiko jangkitan Covid-19 akibat daripada ketidakpatuhan dan salah faham mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) kerana kurangnya masa untuk melakukan persediaan.

"Ini boleh menyebabkan Malaysia terpaksa melaksanakan PKP semula dalam tempoh beberapa bulan lagi. Kami tidak lagi mampu menghadapinya," kata mereka.

Post a comment

0 Comments