NGO lapor polis terhadap menteri KPKT


SEBUAH
Pertubuhan Bukan Kerajaan membuat laporan polis ke atas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin.

Ia susulan kenyataan kurang tepat Ahli Parlimen Ampang itu yang dakwa mereka telah mengelirukan dan menyebabkan kerugian terhadap segelintir rakyat.

Memetik laporan Malaysiakini,  Pertubuhan Peneraju Insan mendakwa Zuraida membuat kenyataan kononnya Persatuan Pemberi Pinjaman Wang atau Kredit Komuniti serta persatuan pajak gadai memberi moratorium selama tiga bulan.

Ia bagi meringankan bebanan peminjam semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, Setiausaha Pertubuhan itu, Indrani Selvakumar berkata, kenyataan Persatuan Pajak Gadai Malaysia (MPA) pada 14 Mei bertentangan dengan kenyataan dibuat menteri apabila memaklumkan bahawa mereka akan mengenakan faedah terhadap pinjaman dalam tempoh PKP.

"Kami mendapati kenyataan MPA bercanggah dengan apa yang Zuraida kata sebelum ini bahawa persatuan pajak gadai setuju untuk moratorium.

"Kini, ramai peminjam (pajak gadai) berasa tertipu dan terpaksa membayar faedah lebihan kerana kenyataan Zuraida yang agak mengelirukan," katanya menurut portal itu.

Pada 9 April, Bernama memetik Zuraida sebagai berkata bahawa Persatuan Pemberi Pinjaman Wang atau Kredit Komuniti serta persatuan pajak gadai bersetuju memberi moratorium selama tiga bulan bagi meringankan bebanan peminjam, ia termasuk mengecualikan caj kelewatan dalam tempoh PKP.

Bagaimanapun, pada 15 Mei adalah dilaporkan bahawa MPA tidak bersetuju dengan moratorium itu dan menjelaskan bahawa kedai pajak mempunyai hak untuk mengenakan faedah ketika tempoh PKP.

Mengulas lanjut, Indrani berkata, seminggu sudah berlalu sejak kenyataan MPA dan Zuraida masih membisu.

“Saya sendiri ke pejabat KPKT di Putrajaya untuk mendapatkan maklumat. Tetapi, tiada sebarang penjelasan daripada mereka. Nampaknya, Zuraida membuat kenyataan bagi pihak persatuan pajak gadai tanpa persetujuan mereka.

"Jadi, kami membuat laporan polis untuk menyiasat laporan Zuraida," katanya selepas membuat laporan polis di Puchong, Selangor hari ini.

Sementara itu, Indrani turut meminta Muhyiddin Yassin supaya campur tangan dalam isu tersebut.

"Ia adalah isu yang penting dan melibatkan kepentingan orang awam. Harap PM memberikan satu penyelesaian terbaik kepada peminjam yang kini dipaksa membayar faedah tambahan yang jelas membebankan mereka," katanya lagi.

Post a comment

0 Comments