Pak Aq meninggal dunia


WARGA
emas dikenali sebagai Pak Aq atau Ishak Darus, 77, yang keluarganya dibantu penceramah terkenal, Ustaz Ebit Lew dilapor meninggal dunia kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Menurut isterinya, Jamaliah Rejab, 54, Pak Aq sebelum ini menunjukkan dadanya yang sakit dengan melurut tangan pada bahagian itu kira-kira jam 7 pagi tadi.

"Kami ingatkan suami tidur seperti biasa pagi tadi dan hanya mengetahui arwah sudah tiada apabila dia tidak menunjukkan reaksi dan dimaklumkan makcik yang datang mencuci luka kaki saya akibat kencing manis.

"Sejak kami berpindah dari Lorong Gedebang ke rumah baharu di Lorong Fajar, arwah hanya tidur sepanjang hari, kurang bercakap dan hanya mampu berkomunikasi menggunakan isyarat tangan," katanya dipetik laporan media.

Sejak beberapa hari lalu, Allahyarham turut didakwa tidak berselera untuk makan.

Kisah Pak Aq yang sebelum ini tinggal di sebuah rumah usang di Lorong Gedebang, Jalan Langgar, menjadi menjadi bualan hangat netizen.

Ebit Lew tampil membantu keluarga daif itu dengan memindahkan mereka ke kediaman lebih selesa di Taman Uda dekat Alor Setar.

Sementara itu, dalam hantaran di Facebooknya, Ebit turut melahirkan kesedihan atas pemergian Pak Aq dan mendoakan arwah diampuni serta dicucuri rahmat atas dirinya dan keluarga warga emas itu.

Arwah Pak Aq jelasnya pernah berkongsikan beberapa hajat untuk menyediakan tempat tinggal selesa buat isteri, anak serta cucunya, selain berhasrat menghantar cucunya ke tahfiz dan sekolah yang lebih baik.

Pada hantaran sama, Ebit turut berterima kasih penduduk setempat, ahli jawatankuasa masjid dan semua pihak yang membantu menguruskan pengebumian Pak Aq.

Post a comment

0 Comments