Pakar beri amaran gelombang ke-2 Covid-19


SEORANG
pakar kesihatan dari Taiwan memberi amaran gelombang baharu COVID-19 akan melanda dunia pada hujung tahun ini.

Dr Chan Chang-Chuan berkata, keadaan bakal menjadi lebih teruk  sekiranya dunia tidak mengambil langkah pencegahan yang lebih berkesan menangani penularanya.

Dekan Sekolah Kesihatan Awam, Universiti Nasional Taiwan itu memberi amaran itu berdasarkan corak pandemik yang berlaku pada masa-masa lepas, termasuk wabak Sindrom Akut Penafasan Teruk (SARS) pada 2003.

“Pada masa lepas, kalau kita lihat kembali sejarah pandemik, gelombang pertama virus seperti ini akan mula berkurangan pada bulan ini (Mei), sehingga Ogos kelak.

"Apabila sekolah buka kembali nanti, orang mula berhimpun, dan virus yang akan terus ada dalam komuniti kita ini, akan mula mengakibatkan lengkungan itu meningkat kembali,” katanya dipetik laporan Awani.

Tambah Dr Chan, walaupun ada sesetengah pihak yang merasakan sekatan perlu dilonggarkan demi pengembangan ekonomi, namun amat penting untuk mendapat nasihat dari pakar kesihatan.

Masyarakat seluruh dunia tegasnya perlu mengambil serius langkah penjarakan sosial, serta memastikan mereka tidak menyertai sebarang perhimpunan yang berisiko tinggi.

Selain itu, beliau berkata, ujian saringan perlu dilakukan secara berterusan dalam usaha memastikan lengkungan itu dapat dikawal dan seterusnya diratakan.

“Taiwan telah mengambil pengajaran dari wabak SARS dahulu, iaitu dengan memastikan bilangan unit rawatan rapi (ICU) dipertingkatkan dan dilengkapi dengan peralatan moden yang secukupnya sebagai persediaan menghadapi sebarang pandemik.

“Selain itu, kami turut memastikan pengesanan pintar (smart tracing) dilaksanakan baik di kalangan rakyat kami, mahu pun warga asing yang berada di sini, sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya lagi.

Taiwan menjadi tumpuan dunia apabila kaedah pengawalan virus mereka menyaksikan wilayah itu mencatat hanya 440 kes positif, dengan 355 sudah pulih sepenuhnya, selain hanya enam kematian direkodkan.

Post a comment

0 Comments