Pasar Selayang beroperasi semula Selasa depan


PASAR Selayang akan memulakan semula operasi pada Selasa depan bermula jam 5 pagi hingga 2 petang.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan yang dipetik satu notis pemberitahuan berkata, bagaimanapun operasi tidak dibenarkan pada setiap Isnin dan Jumaat bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi koronavirus (Covid-19).

Semua peniaga dan pekerja di pasar itu pula jelasnya perlu melalui pintu utama bagi menjalani saringan suhu sebelum memasuki premis itu.

"Peniaga juga perlu menyediakan pensanitasi tangan di hadapan gerai dan mematuhi penjarakan sosial antara satu sama lain.

"Pembeli juga dibenarkan berada dalam pasar selama 30 minit sahaja dan kenderaan persendirian tidak dibenarkan parkir di kawasan Pasar Harian Selayang," katanya.

Pasar Harian Selayang ditutup sejak 21 April lalu sehari selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Bandar Utara dan sekitar Pasar Borong KL dilaksanakan.

Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, di Selayang dikenakan PKPD  hingga 3 Mei ini susulan 28 kes positif COVID-19 direkodkan lokasi berkenaan dengan satu kematian membabitkan warga Myanmar  berusia 36 tahun di sekitar kawasan itu.

Post a comment

0 Comments