Peguam kanan mohon semakan semula DNAA Riza Aziz


SEORANG peguam kanan memfailkan permohonan bagi menyemak semula keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) anak tiri Najib Razak, Riza Aziz.

Shaharudin Ali memfailkan permohonan itu menerusi emel ke Mahkamah Tinggi (Jenayah) dengan alasan mahkamah Sesyen telah khilaf dalam melaksanakan ‘budi bicara’ ke atas ‘leave’ (kebenaran terhadap permohonan).

Katanya, tidak jelas atas dasar apa budi bicara itu dilaksanakan memandangkan tiada langsung proses budi bicara kehakiman (judicial discretion) dalam membenarkan permintaan ‘application for leave’ oleh timbalan pendakwa raya Gopal Sri Ram, seperti termaktub di bawah seksyen 254 (2) Kanun Tatacara Jenayah.

Dan persoalan apakah ‘leave’ dibenarkan selepas bahan-bahan material dipertimbang, diperhalusi dan dikaji di hadapan mahkamah.

Seksyen 254 memperuntukkan tatacara apabila pendakwaan tidak lagi bercadang untuk meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh atau apabila proses sedemikian boleh berakhir dengan DNAA.

Seksyen 254 (2) menyatakan bahawa di sebarang peringkat dalam mana-mana perbicaraan di mahkamah sesyen atau mahkamah majistret, sebelum disampaikan penghakiman, pegawai yang menjalankan pendakwaan, jika berpendapat patut, boleh memberitahu mahkamah yang dia tidak bertujuan hendak mendakwa tertuduh selanjutnya terhadap pertuduhan itu dan semua prosiding pertuduhan ke atas tertuduh itu bolehlah diberhentikan dengan kebenaran mahkamah, dan jika diberhentikan sedemikian, maka tertuduh hendaklah dibebebaskan daripada pertuduhan itu.

Seksyen 254 (3) pula menyatakan bahawa pelepasan daripada pertuduhan yang seumpama itu tidak dianggap sebagai pembebasan, kecuali jika mahkamah mengarahkan demikian.
 
Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah

Memetik laporan Malaysiakini, Shaharudin menyenaraikan tiga faktor relevan yang tidak diambil kira hakim mahkamah sesyen ketika melaksanakan budi bicara dalam membenarkan DNAA terhadap Riza.

Pertama, katanya, tertuduh berdepan dengan lima tuduhan yang serius, iaitu pengubahan wang haram berjumlah AS$248 juta (RM1.25 bilion), yang didakwa adalah dana daripada syarikat 1MDB.

Kedua, katanya, kes ini dan kes-kes lain berkaitan 1MDB adalah kes pengubahan wang yang terbesar dan paling rumit dalam sejarah negara.

Ketiga, katanya, adalah tidak tepat dan tidak betul jika dikatakan bahawa tertuduh akan mengembalikan sebahagian daripada kerugian yang berjumlah "beberapa juta ringgit".

“Jumlah yang dimaksudkan ialah pemulangan oleh OKT (tertuduh) amaun AS$108, tetapi jumlah tersebut akan dipulangkan oleh DOJ (Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat) kepada kerajaan Malaysia, dan bukan daripada kocek OKT sendiri.

“Sejak beberapa bulan dahulu, DOJ telah membuat kenyataan bahawa ia sedang berusaha memulangkan wang tersebut kepada Malaysia,” kata Shaharudin di dalam emel tersebut.

“Sama ada suatu penyelesaian telah dicapai untuk OKT secara sendiri membayar AS$108 juta, adalah satu persoalan yang tidak dipertimbang secara kehakiman (judicially considered) oleh HMS (hakim mahkamah sesyen)," kata surat itu.

Pada 14 Mei, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dilaporkan membenarkan DNAA terhadap Riza Aziz berhubung kes pengubahan wang haram AS$248juta yang dikaitkan dengan 1MDB.

Riza sebelumnya berdepan lima pertuduhan pengubahan wang haram.

Sebagai rekod, permohonan Shaharudin dibuat di bawah seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah.

Subseksyen (1) peruntukan itu menyatakan bahawa seseorang hakim boleh memanggil dan memeriksa rekod sebarang perbicaraan mahkamah jenayah rendah dengan tujuan memuaskan hatinya tentang kebetulan, kebenaran dan munasabah sebarang pendapat, hukuman atau perintah yang direkodkan atau dijatuhkan, dan tentang mengikut aturan pembicaraan yang sedang dijalankan oleh makahmah rendah berkenaan.

Dalam perenggan terakhir surat dihantar itu, Shaharudin memohon hakim mahkamah tinggi untuk memanggil rekod kes tersebut daripada mahkamah sesyen dan mengkaji rekod prosiding kes Riza itu.

Ia katanya, bertujuan bagi maksud memuaskan hati hakim mahkamah tinggi akan kebetulan, keabsahan dan kewajaran perintah DNAA oleh hakim mahkamah sesyen tersebut, menurut undang-undang.




 

Post a comment

0 Comments