Pengusaha bas persiaran gesa k'jaan bantu ringan beban


LEBIH
2,000 syarikat bas persiaran dari Lembah Klang hari ini menggesa kerajaan supaya menstrukturkan semula pinjaman ke atas bas persiaran.

Memetik laporan Malaysiakini semalam, pengusaha mendakwa, 80 peratus dari mereka akan bankrap jika pinjaman syarikat-syarikat kredit kepada bank-bank milik kerajaan  tidak distruktur semula dalam masa terdekat.

"Saya sarankan pihak kerajaan ambil pendekatan yang sangat drastik dengan memberi arahan kepada bank untuk menerima penstrukturan semula pinjaman dari syarikat-syarikat kredit kepada bank kepunyaan penuh kerajaan seperti SME Bank dan BSN dengan kadar faedah yang rendah untuk syarikat bas kembali bernafas.

"Ini sangat membantu syarikat-syarikat pengusaha bas untuk mengurangkan kos operasi minimal kepada 30 peratus," kata wakil mereka, Wan Shairi Wan Ahmad.

Semalam lebih 2,000 pengusaha bas persiaran di Lembah Klang, berkumpul di kawasan parkir Muzium Negara dalam usaha mencari perhatian kerajaan terhadap sektor pelancongan.

"Kita harus faham apakah kepentingan industri pelancongan kepada penumbuhan KDNK negara. Pengangkutan adalah komponen kedua terpenting dalam sektor pelancongan inbound dan menyumbang 35% hingga 40% daripada jumlah RM84.1 bilion.

"Pada tahun 2018, sektor servis atau perkhidmatan memberi pulangan sebesar 52.96 peratus kepada negara dan industri pelancongan sendiri menyumbangkan 13.3 peratus dan membawa keuntungan kepada FDI sebanyak RM84.1 bilion," katanya.

Wan Shairi yang juga pemilik WSF Tour & Travel berkata bahawa buat masa ini arahan Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung moratorium pinjaman tidak mendapat kerjasama oleh syarikat kredit.
 
"Kami bukan minta bantuan kewangan. Kami hanya nak penstrukturan semula pinjaman. Ini kerana kami nak jual bas ini tidak boleh. Syarikat kredit pula tidak memberi moratorium," tambahnya lagi.

Sementara itu pemilik syarikat Dataran Pintar, Abdul Aziz Ismail Gani meminta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, (MOTAC) untuk memberi kelonggaran untuk menambah jangka hayat bas persiaran dari 12 tahun kepada 15 tahun.

"Kami minta MOTAC untuk kaji semula kepada 15+3 tahun. Ini kerana kualiti bas yang dibina di Malaysia sudah diperakui oleh negara-negara lain dan jika kita melihat kualiti bas persiaran di jalan raya, walaupun sudah berumur 12 tahun masih utuh dan dalam keadaan bagus.

"Kelonggaran ini sedikit sebanyak membantu pengusaha bas untuk pulih daripada (kesan ekonomi) Covid-19," katanya.
 

Post a comment

0 Comments