Perak dilanda banjir kilat, penduduk dipindahkan


HUJAN
lebat berterusan hampir dua jam menyebabkan Kampung Sungai Rokam di Ipoh, dilanda banjir kilat malam tadi.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perak yang dipetik Awani berkata, hujan lebat turun sejak kira-kira jam 6 petang menyebabkan air Sungai Rokam melimpah.

Air sungai yang melimpah turut dilapor memasuki empat buah rumah di Jalan Salak dan Jalan Tampoi di kampung itu.

“Seramai 17 penduduk kampung, termasuk seorang bayi dipindahkan ke pusat pemindahan banjir (PPS) di Dewan Orang Ramai Datuk Ahmad Said,” jelasnya.

Difahamkan, PPS itu dibuka malam tadi kira-kira jam 8.30 malam dengan proses pemindahan penduduk terbabit dilaksana beberapa agensi.

Sementara itu di Slim River, beberapa penduduk termasuk warga asing yang tinggal di Taman Seroja dan Taman Yang Ming turut dipindahkan.

Media melaporkan beberapa kediaman di kawasan itu dinaiki air lebih setengan meter, juga susulan hujan lebat berterus malam tadi.

Difahamkan, sejumlah 24 mangsa terbabit dalam insiden itu, 15 terdiri dari warga Indonesia.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak berkata, mereka menerima panggilan mengenai kejadian di Taman Seroja pada jam 6.52 petang.

“Pemindahan mangsa seramai 15 orang warga Indonesia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Sembilan mangsa di Taman Yang Ming pula dipindahkan sementara ke Dewan Tan Sri Ghazali Jawi.

Post a comment

0 Comments