Perbicaraan kes rasuah Rosmah Mansor bersambung 13 Julai


PERBICARAAN
kes rasuah membabitkan isteri bekas presiden Umno, Rosmah Mansor akan bersambung selama 31 hari di Mahkamah Tinggi di sini bermula 13 Julai depan.

Tarikh perbicaraan itu ditetapkan Hakim Mohamed Zaini Mazlan selepas timbalan pendakwa raya Poh Yih Tinn memaklumkan bahawa pihak-pihak terlibat telah berbincang mengenai tarikh sesuai untuk perbicaraan kes berkenaan.

Tarikh perbicaraan yang ditetapkan ialah 13 sehingga 16 Julai; 3 hingga 6 Ogos; 17 hingga 19 Ogos; 7 hingga 10 Sept; 14 hingga 17 Sept; 5 hingga 8 Okt; 2 hingga 5 Nov dan 16 hingga 19 Nov.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan 9 hingga 11 Jun, 6 hingga 9 Julai, 13 hingga 16 Julai dan 20 hingga 23 Julai untuk menyambung perbicaraan kes berkenaan.

Rosmah, 68, berdepan 1 pertuduhan meminta RM187.5 juta dan 2 pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantu beliau, Rizal Mansor.

Ia sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah didakwa melakukan kesalahan itu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall Kuala Lumpur, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 Sept 2017.

Isteri bekas perdana menteri itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu,  Poh berkata, pihak pendakwaan akan memanggil 9 lagi saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu dan 3 lagi penyataan saksi akan diserahkan kepada pihak pembelaan hujung bulan ini.

Setakat ini, 12 saksi pendakwaan memberi keterangan dan apabila perbicaraan bersambung pada 13 Julai, pihak pembelaan akan meneruskan dengan pemeriksaan balas terhadap saksi ke-12, bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan (MOE) Alias Ahmad.
 

Post a comment

0 Comments