Pesakit M'sia bakal diuji dengan Remdesivir


PESAKIT koronavirus (Covid-19) yang dirawat di Hospital Sungai Buloh bakal menjadi kumpulan pesakit pertama dari Asia Tenggara yang akan dipilih untuk diberikan ubat Remdesivir.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mula memilih pesakit untuk menjadi sebahagian daripada ujian klinikal bagi mengesan  keberkesanan ubat tersebut melawan Covid-19.

"Ujian klinikal di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu untuk 100 pesakit. KKM sudah menerima ubat tersebut dan mengagihkannya ke sembilan hospital.

"Jadi KKM sudah ada kes pertama untuk ujian klinikal kita dan KKM menyasarkan untuk mendapat (penyertaan) 100 pesakit," katanya  dalam
sidang media di Putrajaya semalam.

Sebagai rekod, Remdesivir merupakan ubat antivirus yang dikeluarkan syarikat bioteknologi AS, Gilead Sciences Inc.

Remdesivir pernah diuji ke atas haiwan bagi mengekang patogen virus yang strukturnya sama dengan Covid-19, seperti MERS dan SARS.

Pada 29 April lalu, Reuters yang memetik Gilead melaporkan ujian yang dijalankan membantu pesakit Covid-19.

Menurut Noor Hisham ujian percubaan klinikal itu mengambil sedikit masa sebelum KKM boleh menyerahkan laporannya kepada WHO.

"WHO kemudian akan meneliti semua laporan daripada seluruh dunia (yang menjalankan ujian sama) termasuk Malaysia dan akan mengkajinya.

"Ia mungkin mengambil masa antara enam ke sembilan bulan (dari sekarang)," tambahnya.

Post a comment

0 Comments