Petisyen bantah PKPB dapat sokongan rakyat



HAMPIR 500,000 orang menandatangani petisyen dalam talian bagi membantah keputusan kerajaan melonggarkan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setakat pagi tadi petisyen dilancarkan pada 1 Mei di laman Change.org itu telah ditandatangani 470,939 responden yang turut menggesa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibatalkan.

Memetik laporan Sinar, salah seorang penandatangan petisyen itu, Mohd Faiz Mohamed dari Johor berkata, rata-rata rakyat Malaysia masih belum faham penjarakkan sosial terutama kebanyakan pekerja di sektor perkilangan yang melibatkan warga asing.

“Ini amat membimbangkan,” katanya dipetik laporan itu.

Pentadbiran Muhyiddin melonggarkan PKP berkuat kuasa hari ini bagi membolehkan kebanyakan sektor perniagaan dibuka, termasuk restoran dan pusat jagaan harian.

Beberapa aktiviti tertentu di luar rumah juga akan dibenarkan, namun kesemua aktiviti yang dibenarkan di bawah PKPB masih perlu mematuhi penjarakkan sosial.

Bagaimanapun, 6 negeri iaitu Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Pahang, Kelantan dan Kedah menangguhkan untuk melonggarkan sekatan itu.

Sementara itu, beberapa individu yang menandatangan petisyen tersebut menegaskan bahawa keselamatn dan kesihatan adalah lebih penting untuk dititik beratkan ketika ini. 

"Walaupun saya tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri tetapi tidak mengapa. Kehidupan yang lebih sihat lebih penting bagi saya," kata seorang petugas barisan hadapan, Lisa Mariana Md Sallehuddin.

Seorang peniaga, Malek Azhar dari Shah Alam berkata, perniagaannya hanya mampu bertahan untuk lima bulan sekiranya PKP terus dilaksanakan, namun keselamatan petugas barisan hadapan lebih penting.

Jelasnya, beliau lebih rela mengenepikan soal perniagaan dan berharap petugas hadapan tidak dibebankan dengan kluster baharu.

Post a comment

0 Comments