PH Melaka cabar pelantikan speaker baru


GABUNGAN
Pakatan Harapan (HARAPAN) Melaka bakal memfailkan saman pemula bagi mencabar kedudukan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Ab Rauf Yusoh sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dan Timbalan Speaker yang kini disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Ghazale Muhamad.

Pengerusi HARAPAN negeri, Adly Zahari, berkata langkah terbabit diambil kerana pelantikan kedua-dua individu itu dianggap tidak wajar kerana ia dilakukan selepas penangguhan sidang DUN oleh Speaker sebelum ini, Datuk Wira Omar Jaafar.

"Empat daripada enam usul yang pernah dihantar oleh Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali ditolak oleh Speaker pada 6 Mac lalu, termasuklah usul menggantikan Speaker dan Timbalan Speaker.

"Namun, berlaku kekecohan dalam sidang DUN semalam sehingga Speaker mengambil langkah menangguhkan mesyuarat pada suatu tarikh dan masa yang akan ditetapkan.

"Namun, Perikatan Nasional (PN) didapati meneruskan persidangan, sekali gus mencabar peraturan DUN dan kuasa yang ada pada Speaker sebelum ini.

"Mereka juga melantik Speaker yang baharu serta meluluskan usul pelantikan seorang Ahli Dewan Negara (Senator)," katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, jelasnya kenyataan Ketua Menteri berhubung penangguhan Sidang DUN oleh Omar semalam sebagai tidak sah adalah tidak tepat.

"Beliau (Sulaiman) menyatakan penangguhan persidangan tidak mengikut Peraturan Mesyuarat 17 (5)(a) tidak tepat kerana peraturan itu perlu dibacakan sekali dengan Peraturan Mesyuarat 17(5), 17(2), 34(8) dan 36 serta perlu melihat keseluruhan suasana Dewan.

"Oleh yang demikian, HARAPAN mengadakan perbincangan bersama pasukan peguam, akan memfailkan saman pemula untuk mencabar keabsahan kedudukan Ab Rauf sebagai Speaker dan Ghazale sebagai Timbalan Speaker," tegasnya.

Post a comment

0 Comments