PN Melaka perlu jawab isu calon Yang di-Pertua Negeri baru


KERAJAAN Melaka yang kini dikuasai Perikatan Nasional (PN) digesa menjelaskan tentang khabar angin yang mengaitkan 2 individu untuk jawatan Yang di-Pertua Negeri.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong membuat gesaan itu susulan timbul kebimbangan bahawa calon jawatan itu merupakan individu yang pernah dikaitkan dengan amalan “politik wang” dan kes rasuah.

Khoo membuat gesaan itu susulan spekulasi bahawa bekas ketua menteri Ali Rustam dan bekas setiausaha politik Dr Mahathir Mohamad, Zahid Mat Arip sedang berusaha untuk menggantikan Mohd Khalil Yaakob, yang tempoh perkhidmatannya akan berakhir pada 4 Jun ini.

“Khabar angin itu menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat Melaka mengenai kesesuaian calon terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

“Untuk rekod, Ali Rustam dan 3 penyokongnya didapati bersalah pada 2009 oleh lembaga disiplin partinya sendiri, iaitu Umno, kerana politik wang.

“Zahid Mat Arip baru-baru ini dikaitkan dengan kes rasuah bekas pengerusi Felda, Isa Samad.” tegasnya.

Khoo sementara itu juga mempersoalkan kenyataan ketua menteri, Sulaiman Md Ali, bahawa beliau tidak tahu apa-apa mengenai pelantikan Yang di-Pertua yang baru.

Khoo berkata, Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa ketua menteri terlibat dalam melantik Yang di-Pertua Negeri melalui perundingan dengan Yang di-Pertuan Agong.

“Prinsip demokrasi memerlukan ketua menteri melaksanakan ketelusan dan pemerintahan yang baik dalam hal melantik Yang di-Pertua Negeri yang baru. Individu yang dicalonkan untuk dilantik mestilah berintegriti tinggi, berdikari dan mendapat keyakinan masyarakat,” kata Khoo.

Beliau menambah bahawa calon Yang di-Pertua seharusnya dipilih berdasarkan kemampuan dan rekod prestasi mereka.

Post a comment

0 Comments